Jaga-jaga cara Zul Ariffin

Jaga-jaga cara Zul Ariffin

MUNCULLAH seberapa ramai aktor baharu, pesona Zul Ariffin tetap utuh dan terus menjadi rebutan penerbit. Tidak sahaja laris sebagai taruhan layar perak, aktor filem aksi J2: J Retribusi itu jadi taruhan karya televisyen.

Berbelas tahun mencanai reputasi, populariti dan pencapaian yang diraih si aktor bertubuh kekar itu juga tidak sedikit.

Berikan apa sahaja watak, bengis, romantik mahupun kelakar seram seperti yang pernah disaksikan menerusi Hantu Kak Limah atau padankan sahaja dengan mana-mana heroin, aktres senior mahupun si budak baru kenal glamor, momentum anak kelahiran Taiping, Perak itu kekal di tampuknya.

Dia juga tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan mana-mana pelakon, termasuk mereka yang muncul daripada platform media sosial.

Pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin juga tidak kisah berkongsi ilmu andai digandingkan dengan pensohor media sosial atau instafamous mahu pun YouTuber.

Jaga-jaga cara Zul Ariffin

“Saya juga pernah melalui pengalaman pertama berada di set, jadi saya tidak akan hakimi mereka yang pertama kali berlakon.

“Jadi lebih baik saya kongsikan pengalaman berharga buat mereka yang boleh memberi manfaat dalam kerjaya untuk masa akan datang.

“Sejujurnya, di lokasi penggambaran saya cukup menjaga hubungan baik dengan semua orang kerana tak mahu mereka ada pengalaman buruk.

“Lagi pun saya mahu elak masalah dan mahu kerjaya bertahan lama. Pusing-pusing kita akan jumpa orang sama,” katanya.

Zul berkata demikian ketika mempromosikan drama bersiri Love, Elsa yang menemui penonton menerusi slot Mega Drama Astro Ria.

Dalam drama arahan Michael Ang berkenaan, lelaki berusia 35 tahun itu pertama kali berpasangan dengan pelakon dan pengacara Uyaina Arshad.

Mengaitkan Zul dengan kisah lama yang mudah terkait gosip cinta lokasi, alah biasa tegal biasa, pelakon itu hanya bersahaja membuat penjelasan.

Katanya, dia tidak perlu melatah sebaliknya mengakui pengalaman mematangkannya untuk berdepan sebarang gosip dan kemungkinan.

Apa yang mampu dilakukan, dia mengamalkan sikap berhati-hati terutama menjaga pergaulan dengan heroin gandingan bagi mengelakkan prasangka.

Pergaulan

Bukan bersikap dingin, akui bintang Tombiruo: Penunggu Rimba itu, dia juga tidak menjarakkan komunikasi sebaliknya mahu menghindarkan teman gandingan digosipkan dengannya.

“Bukan apa, saya faham dan sudah biasa dengan gosip tetapi kalau yang terkena itu pelakon baharu, saya kasihan kepada mereka.

“Jadi saya enggan terlalu mesra kerana tidak mahu disalah sangka. Takut mereka terkejut, baharu nak menyesuaikan diri sudah digosip.

“Nanti saya pula rasa tidak selesa di lokasi penggambaran. Daripada terjerat dengan kontroversi, lebih baik saya fokus kerja.

“Apa pun, semua itu berbalik kepada penerimaan diri sendiri.

“Jika berpegang kepada niat yang betul, kita takkan lari daripada fokus asal,” tambahnya.

Hero drama bersiri Wifi Sebelah Rumah itu juga tidak lokek ilmu, malah sentiasa berbagi pesanan dengan rakan seperjuangan yang baharu menapak.

Katanya, dunia hiburan sarat dugaan terutama kepada pendatang muda yang mula dikenali ramai.

“Sebagai orang lama mungkin kita dah biasa diserang dari pelbagai sudut tetapi semua itu senario yang janggal bagi artis yang baru bertapak.

“Apabila memilih bisnes hiburan, kita kena bersedia terutama tidak lagi dapat menjalani kehidupan seperti dahulu.

“Kalau sebelum ini tiada siapa peduli ketika mengisi minyak kereta, apabila sudah bergelar artis kita perlu hakikatsudah jadi perhatian.

“Jadi kena biasakan diri sebab ini jalan yang kita pilih,” luah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-26 lagi.

Bercerita tentang gandingan Uyaina, khususnya soal keserasian bersama pelakon yang berhijab, Zul awal-awal lagi sudah melengkapkan diri dengan prinsipnya.

Kata pemain watak Ridza Kim itu, dia tiada masalah untuk beraksi kerana adegan bersentuhan bukan menjanjikan keserasian antara pelakon dalam sesebuah adegan.

Zul sebaliknya lebih gemar melihat dulu keselesaan heroin yang dipasangkan dengannya.

“Saya percaya kepada rasa hormat terhadap sesiapa saja yang dipadankan dengan saya di dalam set.

“Tidak semestinya saya suka lakukan babak bersentuhan, terpulang kepada kehendak pengarah.

“Bagi saya untuk mewujudkan keserasian tidak semestinya berpegang-pegang, setiap pelakon pun ada cara berbeza.

“Lagi pun dalam filem saya banyak aksi lasak, jadi apabila dalam drama nampak berbeza,” katanya.

Berhemah berbelanja

Mengenai situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlanjutan, Zul berkata, pandemik Covid-19 memberikan impak kepada semua individu.

Namun secara jujur dia melihat keadaan semasa ini dari sudut positif daripada asyik mengeluh tanpa melaksanakan sesuatu. Malah katanya dia kini menyeimbangkan situasi dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

“Keadaan ini membuatkan saya sentiasa beringat supaya berhemah ketika berbelanja.

“Jangan lihat sebagai musibah saja, sebaliknya cuba positifkan diri malah jika berkemampuan inilah masa untuk kita berbahagi rezeki,” ujarnya.

Jaga-jaga cara Zul Ariffin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tukang urut hina azan di Facebook ditahan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker