Warga Emas 105 Tahun Selesai Terima Dua Dos Vaksin

Warga Emas 105 Tahun Selesai Terima Dua Dos Vaksin

Kuala Krai: Seorang lelaki warga emas berusia 105 tahun lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dalam Program Outreach Vaksinasi di Kampung Bahagia, di sini.

Mamat Mat Ali dianggarkan berusia lebih satu abad berdasarkan tanda bunga yang terdapat di kad pengenalannya dan sebelum ini kisahnya juga pernah mendapat liputan media.

Menurut Mamat atau lebih dikenali Pak Adek berkata, dia dan isteri, Sharipah Samat, 79, menerima suntikan dos pertama pada 6 Jun lalu dan semalam, mereka lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Terima kasih kepada petugas kesihatan yang datang ke rumah untuk memberi suntikan vaksin kepada pak cik dan mak cik yang sudah uzur. Pak cik tidak boleh berjalan dan hanya mampu mengengsot sejak dua tahun lalu disebabkan faktor usia yang semakin tua.

“Selepas menerima suntikan vaksin dos pertama, pak cik tidak mengalami sebarang kesan sampingan kecuali selesema sahaja. Pak cik juga tidak menghidap penyakit kronik kecuali masalah pendengaran yang kurang jelas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Ahmad Amzad Hashim turut menyantuni warga emas berkenaan ketika Program Outreach Vaksinasi.

Sementara itu, anaknya, Syukriah Mamat, 36, berkata, ibu dan ayahnya sepatutnya perlu menghadiri janji temu suntikan vaksin di Hospital Kuala Krai pada April lalu, namun terpaksa menolaknya disebabkan masalah kesihatan mereka selain kesukaran untuk menaiki bot.

“Ayah tidak boleh berjalan dan perlu diusung dan untuk menghadiri janji temu, kami perlu menyusuri Sungai Kelantan dengan menaiki bot selama 45 minit.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dengan adanya Program Outreach Vaksinasi ini, petugas kesihatan terus datang ke rumah untuk memberikan suntikan vaskin kepada ibu dan ayah yang sudah uzur,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, masih ada lagi anak-anak yang bimbang mengenai ibu bapa mereka kerana dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), tumpuan diberikan kepada warga emas dan juga golongan berisiko yang mempunyai penyakit kronik.

“Jangan khuatir. Suntikan untuk warga emas adalah selamat dan dapat memberi perlindungan seperti yang kita harapkan untuk vaksinasi,” katanya.-HM

Warga Emas 105 Tahun Selesai Terima Dua Dos Vaksin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Warga Emas Jadi Sasaran Kemarahan Disalah Sangka Culik Remaja OKU [VIDEO]

“Dimana Ada Kemahuan Disitu Ada Jalan”.. Warga Emas 76 Tahun Sanggup Berjalan Kaki 3km Untuk Terima Vaksin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker