‘Recall system’ beri mandat kepada pengundi

‘Recall system’ beri mandat kepada pengundi

JOHOR BAHRU: Institut pemikir UMNO Johor, Bait Al Amanah menyokong usaha yang dilakukan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menerusi kaedah Simulasi Pilihan Raya Pecat (PRP) bagi menyingkirkan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon yang melompat parti.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, inisiatif yang dipanggil ‘recall system’ itu memberi mandat kepada rakyat di kawasan tertentu yang tidak berpuas hati terhadap wakil rakyat yang tidak berprestasi, tidak menjalankan tugas serta mengambil keputusan bertentangan dengan janji pada Pilihan Raya Umum (PRU).



Katanya, perkara itu sudah dipersetujui ketika mengadakan webinar membincangkan hal sama bersama wakil Bersih 2.0, ahli akademik serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sebelum ini.

Veteran UMNO itu berkata, tindakan itu wajar dibuat memandangkan tidak ada peruntukan undang-undang yang menghalang seseorang wakil rakyat melompat parti, malah Fasal 8 Perlembagaan juga menyebut bahawa mereka ada hak untuk bersama dalam mana-mana pertubuhan.

“Untuk mengatasi politik katak ini, pertamanya adalah dengan menyaman wakil rakyat secara sivil seperti yang dibuat oleh pengundi Gombak terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun ia mengambil masa yang panjang kerana kes itu perlu didengar di mahkamah.

“Satu cara lagi ialah melalui ‘recall system’ ini yang membolehkan Pilihan Raya Kecil diadakan di kawasan terbabit. Memandangkan sistem itu belum ada lagi, maka wujud idea simulasi ini yang menunjukkan ia mudah dilakukan.



“Sebab itu Bersih 2.0 akan mengadakan simulasi ini secara maya untuk mendapatkan tiga peratus daripada pengundi sebagai ukuran bagi menandatangani petisyen terhadap wakil rakyat dan ini hanyalah simulasi sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dan e-hailing di hadapan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.

Jumaat lalu, Bersih 2.0 memaklumkan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor telah menghubungi mereka untuk tujuan itu susulan tindakan Steven Choong yang mengumumkan keluar parti untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau berharap terdapat pihak yang memajukan permintaan ‘recall system’ ini kepada kerajaan yang akan datang untuk dilaksanakan.



SHAHRIR Abdul Samad (tengah) bersama Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pemandu teksi dan e-hailing di hadapan Bangunan UMNO Bahagian Johor Bahru, di Johor. – UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM

Jelasnya, perkara itu perlu setelah mengambil kira jumlah yang sangat besar iaitu seramai 20 Ahli Parlimen melompat dari parti asal ke parti lain.

“Penggal Parlimen ke-14 ini paling istimewa kerana ramai yang melompat parti, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Dalam hal ini, UMNO dan PKR menjadi mangsa kepada politik katak.

“Dengan adanya sistem itu, kita dapat perkasakan undi rakyat dan wakil rakyat pula tidak boleh berbuat sesuka hati mereka. Pengundi mesti ada hak terhadap seorang wakil rakyat bagi menepati janji mereka. Jika tidak, rakyat ada ruang untuk meminta mereka meletak jawatan.



“Saya juga berharap UMNO turut melakukan simulasi yang sama di kawasan wakil rakyat parti itu melompat ke parti lain,” katanya.-UM

‘Recall system’ beri mandat kepada pengundi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lindungi hak pengundi majoriti



Rampasan 3 tan ayam disumbang kepada Zoo Melaka



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker