Tindakan tegas tangani isu hina agama, promosi LGBT



Tindakan tegas tangani isu hina agama, promosi LGBT. Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT bersetuju melaksanakan tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

Tindakan tersebut, antara lain seperti mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguat kuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu.

Selain itu, mencadangkan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri, bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

Turut termasuk, menghasilkan satu prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, tindakan tegas itu bagi menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah berkenaan.

Katanya, Task Force Menangani Isu LGBT ini diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Tujuan Mesyuarat Khas pada hari ini ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Marzuk berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Menangani Isu LGBT yang diurusetiakan oleh JAKIM.

Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, media sosial tertentu misalnya, tiada tapisan langsung terhadap kandungan video-video yang berkaitan hubungan sejenis yang giat disebarkan.

“Pengantunan seksual ataupun ‘sexual grooming’ terhadap kanak-kanak di bawah umur yang didakwa telah dilakukan oleh seorang transgender di media sosial beliau, yang mungkin boleh menjurus kepada perlakuan pedofilia, tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT.

“Ia menunjukkan betapa mereka bersikap ‘double standard’ kerana hanya memperjuangkan isu secara terpilih yang menguntungkan pihak mereka,” katanya.

Tindakan tegas tangani isu hina agama, promosi LGBT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

 


Kes pandu uji Ford Ranger, MB Kedah belum tentu lepas



Leave a Reply

Your email address will not be published.