Muhyiddin mau bikin apa?
Raja-Raja Melayu sudah bertitah. Persoalan utama sekarang ialah apa langkah Muhyiddin Yassin bagi menyusuli “decree” atau dalam bahasa Melayu, dikri (ketetapan) diraja khususnya Yang di-Pertuan Agong.
Apa yang akan atau mesti dilakukan Muhyiddin setelah Raja-Raja Melayu menetapkan tidak perlu darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos, tarikh yang dijadualkan ia berakhir. Rasanya mudah buat beliau patuh akan ketetapan itu.
Satu lagi ketetapan ialah Agong dengan sokongan Raja-Raja menitahkan Parlimen bersidang secepat mungkin. Kini tanggungjawab menasihati dan menyembahkan tarikh untuk Parlimen bersidang terletak atas bahu Perdana Menteri.
Pilihan yang ada ialah beliau boleh mengadap Agong dan memberi nasihat kepada baginda bila Parlimen akan bersidang semula setelah digantung kerana perisytiharan darurat Januari lalu.
(Perlu diingat Agong pada Februari lalu bertitah Parlimen boleh bersidang walaupun pada waktu darurat terpulang kepada perdana menteri menasihati baginda. Itu tidak dilakukan Muhyiddin kerana kerajaan sememangnya keberatan atau enggan ‘membuka semula’ Parlimen atas sebab atau alasan pandemik Covid-19)
Pilihan kedua Muhyiddin ialah beliau bolehlah dengar “nasihat” serta hujah sekutunya seperti Takiyuddin Hassan, Azmin Ali, mahupun Muhammad Faiz Na’aman dari Bersatu.
Mereka beranggapan apa yang diperkatakan Muhyiddin selama ini berhubung pembukaan semula Parlimen senada dengan ketetapan Raja-Raja pada Rabu lalu.
Malah Takiyuddin menarik perhatian rakyat bahawa “Agong tidak menetapkan bila sidang Parlimen harus diadakan”. Kenyataan itu menyaksikan beliau dikecam kalangan warganet.
Bercakap di rancangan Bicara Harakah, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata “jika Agong minta bersidang, kita kena bersidang tetapi kita masih berdepan dengan Covid-19. Kalau ikutkan nak ada Parlimen, ia akan melibatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang termasuk wakil rakyat, pegawai mereka, petugas Parlimen dan lain-lain”.
Terpulang kepada Muhyiddin untuk melihat apa yang Takiyuddin katakan itu mempunyai asas atau tidak. Waullahualam.
Apa pun, mungkin Takiyuddin amat sibuk bertugas sebagai menteri mengenai hal ehwal Parlimen dan undang undang dan setiausaha agung parti sehingga beliau tidak sedar di beberapa negara bukan sahaja Parlimen bersidang, pilihan raya membabitkan jutaan pengundi turut dilaksanakan dengan keadaan Covid-19 berjaya dikawal dengan baik.
Oktober lalu, New Zealand mengadakan pilihan raya dengan wabak Covid-19 cukup terkawal. Lihat sahaja meriahnya Euro 2020 yang sedang berlangsung sekarang. Banyak lagi contoh di persada dunia membuktikan dengan perancangan berkesan, acara penting, termasuk sidang Parlimen dan pilihan raya, boleh diadakan dengan Covid-19 terkawal.
Justeru, sukar bagi ramai orang menerima Parlimen tak boleh bersidang kerana Covid-19.
Jadi, Muhyiddin perlu tepuk dada tanya selera. Benar, mengikut Perlembagaan, perdana menteri tidak terikat mahupun diwajibkan mematuhi ketetapan Agong. Namun, lazimnya nasihat atau titah Agong dituruti, khususnya yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Muhyiddin boleh sahaja berlengah-lengah atau mengabai dan ‘buat dak’ keputusan mesyuarat khas Raja-Raja dengan menggunakan alasan tertentu. Tetapi beliau tentunya tahu akibat dan kesannya. Bagaimana itu akan dilihat oleh rakyat. “Do it at your own peril,” bak kata Inggeris.
Raja-Raja juga bertitah mengenai penting dan perlunya negara mempunyai kerajaan yang stabil, kuat, telus, dan berfungsi dengan efektif terutama menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi.
Seorang kawan lama menulis di Facebook: “Bahasa Istana itu indah tapi bermakna. Bijak menjaga aib semua pihak. Jelas yang tersirat dan tersurat. Semua wajib terima dengan ikhlas”.
Benar apa yang dikatakan beliau. Takkanlah Agong sebagai raja berperlembagaan mesti tunjuk arah dengan jelas dan mengajar buat itu, buat ini, begini dan begitu. Kerajaan khasnya perdana menteri lah yang mesti “sendiri mau ingat, sendiri mau tahu, sendiri mau buat”.
Kata Azlan Zainal dari Ilham Centre, juga menerusi Facebook, berhubung ketetapan Raja-Raja, antaranya: “Tujuh kebimbangan yang telah dimuktamadkan dengan tujuh pendapat yang jelas mewakili rakyat jelata wajar diambil berat dan perhatian serius. Ini bukti keprihatinan”.
Lalu Azlan menyarankan “maka usah bertaki lagi. Sila lakukan apa yang telah dipersetujui dengan kadar segera”.
Harap maklum “taki” bukan merujuk Takiyuddin, walaupun itu singkatan nama beliau dalam kalangan rakan-rakannya.
Kata Azlan, menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka, ‘taki’ ialah “bertaki, berbantah, berbahas, bertengkar”.
Namun petang semalam Pejabat Perdana Menteri atau PMO mengeluarkan kenyataan tiga perenggan bahawa kerajaan “mengambil maklum titah pandangan KBDYMM Yang di Pertuan Agong”.
Menurut kenyataan itu, perdana menteri pada sesi-sesi mengadap sebelum ini sudah memaklumkan kepada Agong semua perkembangan dan langkah yang diambil kerajaan khusus berhubung Covid-19. Disenaraikan secara ringkas apa yang telah dipersembahkan.
Kenyataan itu diakhiri dengan berkata “menjunjung titah KBDYMM Yang di-Pertuan Agong kerajaan akan mengambil langkah-langkah susulan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang”.
Dengan kata-kata ringkas sebegitu, Muhyiddin, pada hemat saya, membuka ruang untuk pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat mengenai tindakan susulan beliau.
Adalah mendukacitakan, khususnya untuk wartawan tua seperti saya, jika spekulasi terus bertebaran meskipun Agong dan Majlis Raja-Raja, masing-masing sudah mengeluarkan kenyataan cukup jelas mengenai langkah ke hadapan negara seterusnya.
Mohsin Abdullah pernah bertugas untuk agensi berita, media cetak, elektronik, dan dalam talian. Beliau menulis mengenai itu ini seperti nasi campur kegemarannya. Penulisannya ibarat durian. Harum bagi sesetengah orang, tidak menyenangkan bagi yang lain.
Muhyiddin lu mau bikin apa?
Baca Artikel Menarik :
- Fahmi Redza mocking Perak MB
- Nasihat Muhyiddin pada Agong tak memuaskan – Anwar
- Raja-Raja Melayu Sudah Bersuara
- Saintis Facebook bangunkan perisian kesan imej ‘deepfake’
- Rizalman merajuk, padam ribuan gambar dalam Instagram
- Resepi ikan tenggiri bumbu merah sedap
Layari Laman Facebook MYKMU NET
You must be logged in to post a comment.