‘Muka gengster’ anak emak

‘Muka gengster’ anak emak

Ipoh: Berpewatakan seperti ‘gengster’ dengan turut memakai rantai besi besar, bersinglet serta riak muka yang garang memang tampak menggerunkan apabila melihatnya namun sebenarnya lelaki ini ‘anak mak’.

Hubungan baik Muhammad Mikhael Sathayah, 39, dengan ibu, M Muniamah, 73, yang digelar ‘mak titew’ sangat erat biarpun berlainan agama kerana pemuda berasal dari Tambun, Perak itu memilih memeluk Islam.

Hubungan erat dua beranak berbangsa India itu juga dilihat melalui video yang kerap dikongsikan Muhammad Mikhael di akaun TikToknya.

Gelagat menghiburkan Muhammad Mikhael yang turut mengelarkan diri ‘muka gengster’ mendapat perhatian warganet sejak beberapa bulan lalu.

Pemuda itu kerap berkongsi video bersama ibu tersayang dengan konten menarik dan lucu malah dia turut memakai baju serta sarung kaki berwarna merah jambu biarpun berimej ‘gengster’.

Muhammad Mikhael berkata, biarpun mereka berlainan agama, ibunya tetap menerima ketentuan itu dengan hati terbuka malah hubungan mereka kekal erat dan saling menghormati.

Menurutnya, keputusannya memeluk Islam pada 2018 diterima ibu malah wanita itu turut menggalakkan dia menjadi Muslim yang baik biarpun keputusannya mendapat pelbagai reaksi orang sekeliling.

Katanya, sebelum ini dia merasai kekosongan dalam jiwa biarpun secara luaran tampak berjaya dan bekerjaya dengan pendapatan lumayan namun dia sebenarnya sentiasa mencari erti kehidupan.

“Sebelum ini, saya bekerja di kelab malam selama 10 tahun sejak usia 18 tahun. Ketika itu memang tidak pernah melihat matahari, pergi kerja jam 6 petang, pulang pula awal pagi menghampiri Subuh.

“Kehidupan ketika itu terasa kosong serta tidak bahagia terutama selepas pemergian ayah pada 2003. Saya mencari dan mengejar dunia, semakin hari semakin kosong hati saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, kelmarin.

Menurutnya, hatinya mula terjentik dengan Islam sejak 2008 selepas mendalami beberapa agama apabila mendengar satu suara ‘aku yang cipta kamu, tapi ini aku berikan pada kamu terima sajalah’ sebelum dia menemui jalan ‘penamat’ pada 2018.

Dalam tempoh 10 tahun, anak bongsu daripada dua beradik itu melawan dan berperang dengan dirinya agar tidak memilih Islam tetapi mengakui sepanjang tempoh itu, dia sudah mengalami perubahan positif seperti meninggalkan tabiat beli nombor ekor, minuman keras selain semakin menyayangi ibu dan berasa tenang setiap kali mendengar azan serta mahu ke masjid.

“Tetapi saya masih lawan perasaan itu, berperang dengan diri. Saya cakap saya tidak akan memeluk Islam. Selepas berhenti kerja di kelab, saya kerja di taman tema di Tambun dan rezeki saya mencurah dan dinaikan pangkat.

“Satu hari hidayah kedua datang apabila berlaku kejadian yang saya anggap hampir meragut nyawa berikutan berasa sangat sakit di dada hingga saya merasakan itu adalah saat pengakhiran hidup.

“Ketika rebah dan mahu menghubungi ambulans, azan Maghrib berkumandang dan saya cakap kalau saya tak mati, saya nak masuk Islam dan mengucap dua kalimah syahadah. Rasa sakit itu kemudiannya beransur hilang,” katanya yang kini sudah berhenti kerja dan menjadi pencipta kandungan sepenuh masa.

Muhammad Mikhael berkata, selepas itu, dia sempat berfikir jika ia hanya mainan perasaan sebelum tekad sepenuhnya memeluk Islam selepas seminggu kejadian berlaku.

“Saya rasmi melafazkan dua kalimah syahadah dengan tenang di pejabat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 20 September 2018.

“Sebelum ke pejabat agama, saya beritahu mak terlebih dahulu hasrat masuk Islam. Mak terdiam serta terkejut, tetapi kemudian senyum dan beri kebenaran,” katanya.

Menurutnya, pilihannya ini turut membawa kepada cakap orang sekeliling yang mengatakan ibunya sudah tiada anak, bukan seorang ibu yang baik dan terlalu memanjakannya namun semua itu tidak dihiraukan dan wanita tersayang terbabit tetap menerimanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada mak yang sentiasa bersama saya sehingga kini, mak hadiahkan saya sejadah dan temankan saya ke masjid.

“Walaupun kami berlainan agama, mak tunggu di luar masjid. Saya kata panas tetapi mak kata tak apa.

“Saya dapat beli rumah sebelah rumah mak sebab saya tak mahu tinggalkan mak. Rezeki mak, saya nak berjiran dengan mak.

“Persepsi yang mengatakan mak hilang anak, kami tidak boleh bersama seperti sebelum ini ternyata salah. Hakikatnya kami masih bersama asalkan saya tahu batas agama. Bagi saya, mak segala-galanya dan saya sangat menyayanginya,” katanya.

Bercerita lanjut, Muhammad Mikhael berkata, dia mengakui hidayah kedua sangat jelas dan terang namun perjalanannya sebagai Muslim masih terlalu panjang.

Katanya, tahun pertama bergelar mualaf dia tidak menunaikan solat dan semuanya berubah selepas berpuasa sepanjang tahun kecuali pada hari yang dilarang dalam agama.

Mengakui dirinya kini tenang dan jiwanya juga tidak berasa kosong, dia juga masih berusaha menjadi Muslim yang baik dan sentiasa mendalami Islam.

“Saya berterima kasih kepada rakan, Cef Tarmizi, Abang Fitri dan Abang Ijan yang banyak membimbing dan menghadiahkan sejadah serta al-Quran kepada saya,” katanya yang turut menghargai bantuan rakannya, DJ Fluffy berikutan banyak membantu di saatnya susah dan senang.

Berhubung video TikToknya, Muhammad Mikhael berkata, dia hanya menjawab soalan pengikutnya dan tidak menyangka akan tular hingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Saya memang tidak pernah cerita dalam TikTok mengenai agama, jadi apabila ramai bertanya, saya ambil keputusan bercerita dan mungkin juga sudah sampai masanya. Saya akan menjaga imej Islam dengan baik termasuk dalam konten.

“Memakai baju merah jambu itu pada mulanya untuk menghiburkan rakan yang berasa lucu melihat saya pakai ‘t-shirt’ merah jambu ke ‘gym’ dan wajah gengster itu juga hanya imej saja,” katanya. HM

‘Muka gengster’ anak emak

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Tak rasa bersalah ke jadi penyondol?

Farid Kamil, jumpa di mahkamah – Syamsul

Ramadhan telah tiba, jangan lakukan 10 perkara ini

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker