Tekanan Diraja sukar untuk PN lengahkan sidang Parlimen

Sebaran :


Penganalisis mendapati ini adalah kali kedua Agong menyuarakan pandangannya mengenai Parlimen bersidang semula walaupun ketika darurat.

Penganalisis melihat titah diraja semalam untuk Parlimen bersidang semula sukar diabaikan kerajaan kerana ia bukan sahaja datang daripada Agong, tetapi juga Raja-raja Melayu.

Mereka berkata, ia akan dianggap tanda tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu, jika titah itu tidak dipatuhi.

Mereka mendapati ia adalah kali kedua sejak perisytiharan darurat yang Agong menyuarakan pandangannya berhubung kepentingan untuk Parlimen bersidang walaupun ketika darurat. Kali pertama ialah Februari lalu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tiada pilihan kecuali mematuhi titah itu kali ini.


Awang Azman Pawi.

“PN tidak boleh mengabaikannya seperti yang dilakukan dahulu. Ia perlu tunduk kepada titah Seri Paduka, yang disokong raja lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jelas baginya yang Agong dan Raja-raja Melayu benar-benar prihatin terhadap keadaan demokrasi dalam negara.

Beliau mendapati Agong cuba mengelakkan campur tangan dalam isu politik, tetapi menggesa sistem Parlimen berfungsi supaya nasib kerajaan semasa dapat ditentukan.

Awang Azman berkata, kenyataan bersama itu boleh dianggap isyarat Raja-raja percaya PN tidak mampu menguruskan pandemik. Ia turut mencerminkan pandangan semasa orang ramai yang darurat perlu ditamatkan, proses vaksinasi harus dipercepatkan dan ekonomi patut diuruskan dengan lebih baik.

“Tiada keraguan rakyat akan memantau dan menilai keadaan itu, khasnya berapa cepat kerajaan PN akan mematuhi titah diraja.”

Katanya, kerajaan perlu memandang serius titah Raja-raja Melayu dalam melakukan penambahbaikan diperlukan dan harus menunjukkan keberanian untuk mengakui kelemahannya.


Azmi Hassan.

Azmi Hassan, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia berkata, “arahan” daripada Agong bermakna PN perlu membuka semula Parlimen sebelum darurat tamat pada 1 Ogos ini.

“Jika kerajaan masih berdegil tidak membuka semula Parlimen disebabkan virus, ia akan menjadi langkah tidak pernah berlaku untuk tidak menghormati keputusan Agong,” katanya kepada FMT.

Katanya, kenyataan Agong mencerminkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kerajaan, dan beliau mendakwa ketidakpuasan itu meningkat sejak Putrajaya mengumumkan pelan pemulihan daripada pandemik Covid-19.

Semalam, Istana Negara dalam kenyataan berkata, Agong menyedari peranan penting Parlimen dalam menangani isu berkaitan Covid-19 dan mahu ia bersidang secepat mungkin.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad dilaporkan berkata, Raja-raja Melayu berpandangan tiada keperluan untuk darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos dan menggesa Dewan Undangan Negeri bersidang semula secepat mungkin.


Oh Ei Sun.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penting untuk Raja-raja Melayu mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah darurat dilanjutkan.

Katanya, gesaan mereka mempunyai “kuasa sangat meyakinkan” terhadap kerajaan, walaupun mereka tidak boleh, secara teorinya, untuk tidak membenarkan darurat dilaksanakan.

“Jika kerajaan terus melanjutkan darurat, ia akan menjadi tanda tidak menghormati Raja-raja Melayu dan Muhyiddin tidak mahu itu berlaku.”

Katanya, ia tidak “membahayakan” PN untuk membuka semula Parlimen dan tiada apa yang perlu ditakutkan memandangkan usul tidak percaya masih boleh ditolak.
FMT


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Tuanku titah secepat mungkin, tak sebut bulan berapa – Takiyuddin


Sebaran :

Leave a Reply