Apakah sebenarnya Pelan Pemulihan Negara PN?


Apakah sebenarnya Pelan Pemulihan Negara PN? Jom kita rungkaikan.

Setelah mengamati ucapan Muhyiddin Yassin semalam, terlalu ramai kini kebingungan apakah sebenarnya Pelan Pemulihan Negara yang dijanjikannya?

Empat fasa ‘pelan pemulihan’ bukannya pelan

Apa yang disampaikan beliau tidaklah begitu baru. Fasa-fasa yang diperkenalkan untuk pelan pemulihan itu lebih berbentuk garis panduan untuk menilai bilakah syarat perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dilonggarkan.



Malah, hubung kaitnya dengan kategori PKP sedia ada seperti PKPB, PKPD dan PKPP masih mengelirukan, terutama sekali apabila diperincikan.

Menurut pelan tersebut, PKP boleh dilonggarkan ke Fasa II, sekiranya jumlah jangkitan harian menurun ke bawah 4,000 kes sehari, ICU di paras “sederhana” dan vaksinasi penuh mencapai 10% penduduk.

Namun, bagaimanakah ini diperincikan ke peringkat negeri, daerah atau lokaliti lebih kecil untuk membantu pihak berkuasa, terutama petugas barisan hadapan kita untuk mentadbir urus pandemik ini secara berkesan di kawasan masing-masing?

Adakah apabila jumlah jangkitan harian seluruh negara menurun ke bawah 4,000 sehari, semua kawasan akan dapat menikmati kelonggaran PKP dengan peralihan ke Fasa II? Bagaimana dengan lokaliti di mana jangkitan masih menular begitu rancak?



Adakah ICU di hospital yang mengalami penurunan jumlah pesakit akan dibenarkan demikian demi melonggarkan PKP? Bukankah beban ICU kini diselaraskan di peringkat negeri, malah antara negeri berjiranan untuk memastikan rawatan terbaik buat pesakit.

Adakah seluruh negara akan menikmati kelonggaran PKP apabila sasaran vaksinasi penuh ke atas 10% penduduk tercapai, walaupun peratusan di setiap lokaliti mungkin amat berbeza? Apakah pelan kerajaan untuk mengurangkan jurang perbezaan penerimaan vaksin antara kawasan mahupun kelompok masyarakat?

Apakah aspek lain yang kini diperkenalkan dalam Pelan Pemulihan Negara? Contohnya, selain apa yang sudah pun diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di bawah program PEMERKASA, adakah lagi penambahbaikan bagi sektor ekonomi, khususnya bagi menyahut rayuan serta desakan rakyat seperti yang menular di media sosial?

Adakah moratorium automatik bakal diberikan kepada semua peminjam institusi kewangan swasta, awam serta agensi kerajaan sehingga Fasa II, III atau IV tercapai



Adakah kadar dasar semalaman (OPR) bakal diturunkan untuk mengurangkan beban kadar faedah kepada peminjam
Adakah program i-Sinar akan dilanjutkan? Atau mungkinkah ada ilham baru yang boleh diperkenalkan, selain membenarkan rakyat memanfaatkan tabungan mereka sendiri?

Aspek sosial juga semakin terserlah kepentingannya sekarang. Masyarakat tertanya-tanya akan perancangan untuk mengejar pembangunan masyarakat yang tertangguh sekian lama.

Adakah kerajaan akan melaksanakan reformasi pendidikan bagi melonjakkan sistem pendidikan yang terjejas selama 15 bulan dan tidak sempuna peralihannya untuk disesuaikan dengan norma baru?

Adakah pelan siasah dan kebajikan terperinci sudah dirangka bagi mereka yang terjejas keharmonian keluarga atau mental?



Adakah jurang pembangunan antara kota dan luar bandar, sekali gus miskin dan kaya akan dikurangkan menerusi Pelan Pemulihan Negara ini?

Isu-isu ini, malah banyak lagi yang belum disentuh di sini, seharusnya sudah lengkap terjawab, sekiranya Pelan Pemulihan Perikatan Nasional (PN) benar-benar dirangka dengan niat serta keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia.

Adakah 10% vaksinasi penuh cukup untuk longgarkan PKP?

Perdana Menteri juga mengulangi vaksinasi merupakan tunggak strategi menangani Covid-19, dengan sasaran 10% penerima vaksin penuh bagi membolehkan PKP mula dilonggarkan dalam Fasa II.



Masalahnya, penularan semula Covid-19 di negara lain yang lebih maju proses vaksinasinya, terkini di United Kingdom, menunjukkan kita masih jauh daripada selamat, sekiranya vaksinasi penuh hanya diterima 10% penduduk.

Di United Kingdom sekarang, penularan semakin meningkat sejak “lockdown” mereka dilonggarkan 17 Mei lalu, antara lain kerana kehadiran varian Covid-19 dari India.

Kelonggaran seterusnya malah ditunda sebulan daripada jadual asalnya pada 21 Jun ini ke 19 Julai sedangkan tahap vaksinasi penuh di UK kini melebihi 45%, dengan jumlah penerima dos pertamanya enam kali ganda melebihi jumlah di Malaysia ketika ini.

Ternyata vaksinasi pada tahap ini telah membantu mereka mengurangkan kadar kematian, walaupun Covid-19 menular kembali.



Kerajaan harus lebih peka terhadap risiko melonggarkan PKP terlalu awal. Nyawa rakyat haruslah diutamakan sebelum ekonomi kerana nilainya, sesuai dengan firman Allah di Surah Al-Maidah, Ayat 32: “Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.”

Kenapa lewat rangka Pelan Pemulihan Negara?

Semua maklum, darurat diisytiharkan 12 Jan lalu, tetapi kenapa tiada Pelan Pemulihan Negara yang dikemukakan lebih awal berbanding sekarang?

Kenapa tiada usaha untuk menggembleng tenaga pemikir dan pengamal seluruh negara, mahupun nasihat pakar luar yang sedia membantu merangka pelan tersebut sejak darurat mula dilaksanakan?

Malah, kenapakah ia mengambil lebih setahun tiga bulan sejak PN mengambil alih kerajaan sebelum pelan seumpamanya diajukan?

Adakah mungkin pelan ini kelihatan begitu kekurangan kerana ia dirangka tergesa-gesa apabila Dr Mahathir Mohamad mempersembahkan cadangan seumpama Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), yang kini dijenamakan semula Majlis Pemulihan Negara (MPN), kepada Yang di-Pertuan Agong tempoh hari?

Adakah kerana Majlis Raja-raja Melayu bakal bersidang hari ini bagi membincangkan situasi Covid-19 negara yang kian hari dilihat tidak terurus, mungkin kerana sebelum ini tidak ada pelan?

Diharap kerajaan PN memahami tanggungjawabnya adalah melaksanakan tugas mengurus kebajikan rakyat tanpa perlu dipersoalkan kesinambungannya oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Malah, apakah manfaat darurat sebenarnya apabila senario Covid-19 jauh lebih buruk daripada ketika ia diisytiharkan? Adakah tragedi kematian ratusan rakyat Malaysia sehari akibat Covid-19 dijamin tidak akan berulang lagi, jika tanggungjawab terus diletakkan pada bahu PN?

Pelan Pemulihan Negara haruslah benar-benar pelan akhir dan meyakinkan, dengan keperincian jelas ia menuju keselamatan nyawa serta kesinambungan hidup seluruh rakyat.
Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi,Ketua Biro Penyelidikan Pejuang.


Layari Laman Facebook MYKMU NET


Warganet kecam pelan ‘tak realistik’ kerajaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker