Michael Ang bedah mata kerana glaukoma

Michael Ang bedah mata kerana glaukoma

Michael Ang bedah mata kerana glaukoma

PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang selamat menjalani pembedahan mata kanannya di sebuah hospital swasta semalam akibat penyakit glaukoma yang dihidapi.

Menurut Michael, dia menyedari menghidapi penyakit tersebut sejak tahun lalu selepas melakukan pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Saya sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan mata ketika menjalani penggambaran untuk drama Love Elsa. Waktu itu, apabila melihat skrin pandangan saya akan menjadi kabur dan rasa ada sesuatu di dalam mata.

“Saya melihat dengan teliti, ternampak seperti ada debu atau cacing kecil yang bergerak-gerak di selaput mata. Jadi, apabila melakukan pemeriksaan tahunan, saya minta doktor untuk memeriksa mata sekali dan baru tahu saya ada glaukoma,” kata Michael ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Michael, mengikut saranan doktor dia sepatutnya melakukan pembedahan mata tersebut pada tahun lalu, tetapi akibat sibuk dengan kerja, pembedahan berkenaan hanya dapat dilakukan semalam.

“Kebetulan sekarang Malaysia dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP) dan semua kerja dihentikan buat sementara waktu, jadi inilah waktu yang tepat untuk saya lakukan pembedahan.

“Selepas menjalani pembedahan semalam, saya dibenarkan untuk keluar hospital hari ini dan diminta berehat selama tujuh hari. Seterusnya selepas seminggu, saya akan lakukan pembedahan yang sama di mata sebelah kiri pula,” kongsi Michael lagi.

Jelasnya, andai pembedahan tidak dilakukan, dia berisiko untuk kehilangan deria penglihatan. Michael bagaimanapun bersyukur kerana menyedari tentang penyakit tersebut pada peringkat awal.

“Kalau saya tidak buat pembedahan, boleh buta. Nasib saya mengetahui tentang glaukoma ini pada peringkat awal. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai simptom mata kabur, rasa berdebu dan ada benda bergerak di mata buatlah pemeriksaan sebelum terlambat,” ujar Michael.

Selain melakukan pembedahan glaukoma, Michael yang sebelum ini memakai cermin mata turut menjalani pembedahan lasik dan membuang katarak demi bebas daripada masalah rabun.

“Semalam, selain melakukan pembedahan glaukoma, saya turut lakukan pembedahan lasik dan buang katarak bagi memulihkan masalah rabun,” kata Michael.

Terdahulu Michael pernah menjalani pembedahan gastroplasty sekitar dua tahun lalu selepas didapati mempunyai masalah darah tinggi dan kencing manis akibat berat badan yang berlebihan.

“Alhamdulillah, selain masalah mata saya tidak ada penyakit lain. Masalah darah tinggi dan kencing manis juga sudah tidak ada selepas melakukan pembedahan gastroplasty dua tahun lalu. Saya menjaga makan dan pastikan mendapat tidur lapan jam setiap hari.

“Paling penting harus melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara tahunan. Kita tidak tahu apa penyakit yang ada. Jadi sebelum keadaan melarat lebih baik kita tahu tentang sesuatu penyakit lebih awal,” tutur Michael. Utv

Michael Ang bedah mata kerana glaukoma


Layari Laman Facebook MYKMU NET


 

Michael Ang Teruk Kena Kecam Sebab Isu Palestin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker