Meninggal dunia hari sama, 2 beranak positif Covid-19 tak dapat dikebumi satu liang lahad

Meninggal dunia hari sama, 2 beranak positif Covid-19 tak dapat dikebumi satu liang lahad

Meninggal dunia hari sama

“Kalau mak pergi, mak kena bawa orang sekali”, “Aku tak tinggal kau, kita pergi sama-sama.”

Itulah ayat terakhir dua beranak yang disahkan positif Covid-19, sebelum kedua-duanya meninggal dunia selang beberapa jam semalam.

Romlah Selamat, 52, berkata adik bongsunya berusia 43 tahun meninggal dunia di rumahnya di Hulu Langat, Selangor bersendirian, manakala ibunya yang berusia 84 tahun meninggal dunia ketika dijaga beradik lain.

Ketika hayat, Romlah berkata, dua beranak itu sangat rapat, lebih-lebih lagi adik bongsunya yang tidak berkahwin turut mengambil tanggungjawab menjaga orang tua mereka yang sakit tua.

Bagaimanapun, selepas kesihatan ibunya merosot, mereka sepakat membawanya ke rumah kakak yang terletak di taman berdekatan untuk pemerhatian rapi kerana adik bongsunya juga tidak sihat ketika itu.

“Emak sudah enam hari tiada selera makan, jadi kami adik-beradik sepakat bawa mak dan jaganya di rumah kakak.

“Adik pula menolak untuk ikut serta dan mahu berehat di rumah seorang diri kerana kurang sihat. Tetapi, berulang kali adik beritahu mak supaya bawa dia pergi sekali, jika mahu ke ‘sana’,” katanya kepada FMT.

Romlah berkata, pemergian adik bongsu daripada 12 beradik itu disedari anak buahnya yang ke rumahnya petang semalam untuk mengambil kad pengenalan ibu dan mendapati beliau tidak sedarkan diri, dengan seluruh badannya “kebiruan”.

“Pagi sebelum itu, kami ada menghubungi adik beritahu mak semakin tenat dan turut disahkan positif Covid-19. Beliau terkejut dan suaranya agak lemah.”

Selepas menerima khabar duka pemergian adik bongsunya, ibunya menghembuskan nafas terakhir tidak lama kemudian.

Katanya, kedua-dua mayat kemudian dibawa ke Hospital Ampang untuk dibedah siasat.

“Pihak hospital memaklumkan adik meninggal dunia pada sebelah pagi dan disahkan positif Covid-19. Punca kematian akibat penyakit jantung yang dihidapinya.

“Manakala ibu yang sakit tua, turut disahkan positif Covid-19.”

Beliau berkata, ketika hayat, dua beranak itu pernah menyuarakan hasrat untuk dikebumikan dalam satu liang lahad, jika ditakdirkan mati bersama.

Bagaimanapun, katanya, hasrat itu tidak dapat ditunaikan kerana ibunya dikebumikan petang semalam, manakala adiknya masih di hospital untuk proses terakhir bedah siasat.

“Tidak dapat seliang pun, tetapi mak dan adik mungkin tetap dapat ‘bersama’ kerana akan dikebumikan di barisan yang sama di sebuah tanah perkuburan di Hulu Langat,” katanya sambil menambah adiknya dijangka dikebumikan awal hari ini.

Romlah berkata, pemergian dua insan yang sangat rapat dengannya amat memberi kesan, lebih-lebih lagi adik bongsunya akan menghubungi beliau untuk menjaga ibu mereka kerana perlu berniaga di pasar malam pada hujung minggu.

“Kehidupan adik saya hanya berkisar mengenai ibu dan berniaga, jika tidak berniaga, dia akan luang masa untuk mak. Tak pernah dia merungut kena jaga mak yang sakit tua sepanjang hayatnya,” katanya dengan nada sayu.

Lebih meruntun hati apabila semua ahli keluarga tidak dapat mengiringi pemergian dua insan tersayang itu buat kali terakhir akibat Covid-19, hanya kiriman doa dan alunan suci al-Quran tanpa henti menjadi “hadiah” paling bermakna.

Ketika ini, Romlah dan empat ahli keluarganya sedang dikuarantin di rumah kerana turut disahkan positif Covid-19. FMT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


COVID-19: Kematian meningkat, mayat tunggu giliran diuruskan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker