COVID-19: Kematian meningkat, mayat tunggu giliran diuruskan


KUALA LUMPUR: Kadar korban akibat COVID-19 yang tinggi di Malaysia, akhir-akhir ini, bukan hanya meruntun jiwa banyak pihak tetapi turut menyebabkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) berdepan situasi getir apabila mengalami masalah tunggakan dalam pengurusan mayat akibat wabak itu dan kes kematian bukan COVID-19.

Berbeza dengan pengurusan jenazah bukan COVID-19, pengurusan kes kematian COVID-19 perlu dilaksanakan dengan teliti oleh pasukan petugas barisan hadapan dan disegerakan pengebumian bagi yang beragama Islam atau dibakar bagi bukan Islam.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Salmah Arshad, berkata peti simpanan mayat sedia ada di IPFN kini tidak mencukupi.

Beliau berkata, mangsa kematian kini diletakkan dalam kontena yang boleh memuatkan antara 12 hingga 20 mayat bagi kontena bersaiz enam meter (20 kaki) sementara menunggu giliran untuk diuruskan.

“IPFN ada 36 peti simpanan mayat, namun kami memantau atau mempunyai tempat simpanan lain. Contohnya, 10 peti di Hospital Tunku Azizah, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (empat) dan Institut Kanser Negara (dua). Jumlahnya 52 peti simpanan mayat dan kita ada ‘back-up’ kontena untuk menyimpan mayat.

“Bagi mayat yang dibakar pula, ia bergantung pada krematorium. Untuk Lembah Klang, hanya ada satu lokasi, iaitu yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Satu oven hanya untuk satu mayat.

“DBKL juga memberi khidmat pembakaran mayat bukan COVID-19, justeru terpaksa menunggu giliran,” katanya kepada Bernama.

Dr Salmah berkata, bagi mayat bukan Islam, waris boleh memilih sama ada mahu dikebumikan atau dibakar, dan proses pembakaran setiap mayat memakan masa antara dua hingga tiga jam berbanding kes bukan COVID-19, iaitu 45 minit hingga sejam.

Doktor pakar berusia 41 tahun yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam bidang forensik itu berkata, peningkatan jumlah kematian di rumah atau ‘brought-in-dead’ (BID) membabitkan wabak COVID-19 semakin merunsingkan.

Ketika gelombang pertama pandemik itu, beliau berkata, kematian COVID-19 di luar wad hanya satu atau dua kes sebulan berbanding kini yang mencecah tiga atau empat kes seumpamanya dalam sehari.

“Tahun lalu, kita jarang menerima kes (mati) di rumah, (sebaliknya) kita dapat kes di hospital. Maksudnya, pesakit dimasukkan ke wad, dirawat dan mati di hospital.

“Yang merunsingkan sekarang ialah kematian di luar hospital, yang tidak sempat dirawat. Simptomnya terlalu cepat dan ini menyedihkan.

“Sememangnya terdapat perubahan… dulu memang kita menjangka kematian membabitkan pesakit yang berusia dan ada penyakit seperti jantung, buah pinggang dan obesiti. Itu faktor yang menyumbang kepada risiko kematian pada tahun lalu ketika gelombang pertama.

“Pada gelombang ketiga, kita tidak dapat jangka sebab tidak mengira usia, ada yang muda dan berusia. Paling muda yang kita terima meninggal di rumah adalah berumur 20-an dan tiada penyakit.

“Kini, semua kena berhati-hati serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana semua boleh terdedah dan mati kerana COVID-19,” katanya sambil menasihati rakyat agar berjaga-jaga akan risiko jangkitan meskipun dengan jiran sebelah.

Beliau tidak menolak kemungkinan mutasi pada varian virus itu menyumbang kepada perubahan kategori mangsa yang diserang, termasuk golongan muda yang tiada sejarah masalah kesihatan.

Mengenai proses bedah siasat membabitkan kes BID COVID-19 atau disyaki COVID-19, Dr Salmah yang mula berkhidmat di HKL sejak awal tahun lalu berkata, kaedah ‘CT (computed tomography) scanning’ digunakan bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada petugas.

Kaedah itu bagi mengesan keadaan paru-paru dan organ lain si mati seperti jangkitan kuman paru-paru atau pneumonia tanpa perlu membedah mayat seperti prosedur biasa.

“Kita buat ‘external’ sahaja. ‘Post-mortem CT scan’ untuk kita tengok keadaan paru-paru atau organ lain. Adakah paru-paru ini menunjukkan jangkitan kuman teruk atau pneumonia disebabkan COVID-19? Jadi kita boleh letakkan sebab kematian sebagai ‘COVID pneumonia’ atau ‘pneumonia due to COVID’,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan IPFN HKL, Hisham Mohd Nordin, menjelaskan proses pembakaran mayat COVID-19 bertambah sekali ganda daripada kebiasaan kerana ia dibakar bersama dua lapisan beg mayat diperbuat daripada plastik tebal berketumpatan tinggi.

Hampir empat tahun berkhidmat di Jabatan Forensik, beliau bertanggungjawab menguruskan mayat di situ dan turut kongsikan situasi tragis akibat COVID-19.

Antaranya ialah apabila seseorang yang meninggal dunia akibat wabak itu, tiada keluarga terdekat untuk memberi penghormatan terakhir buat si mati kerana dalam kebanyakan kes, kesemuanya sedang menjalani kuarantin susulan menjadi kontak rapat mangsa.

“Kebanyakan keluarga (tinggal bersama) semua kuarantin. Sangat sedih apabila waris tidak dapat menatap si mati buat kali terakhir. Pihak kami menggunakan budi bicara bersama inspektor kesihatan untuk memujuk waris menghantar wakil terdekat (yang bukan kontak rapat) untuk menguruskan jenazah.

“Keadaan petugas di sini semua amat letih. Ada ketikanya, satu malam 15 kes. Nasihat saya, ikutlah langkah-langkah pencegahan dan patuhi SOP. Apabila kerajaan saran ambil vaksin, ambillah. Kita mahu mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai hendaklah bersama-sama membantu semua petugas barisan hadapan bukan saja daripada Jabatan Forensik tetapi juga di wad hospital, terutama di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan mematuhi SOP dan melakukan kawalan kendiri.

Bagi mengikuti temu bual bersama Dr Salmah dan mengetahui pengurusan jenazah COVID-19, saksikan dokumentari siri kedua ‘Gelombang Kembali: Bilakan Berakhir?’ terbitan Bernama TV yang akan bersiaran pada Jumaat jam 8.30 malam. – BERNAMA

[VIDEO] Covid-19: Azab ‘Makan’ Dalam

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker