Selamatkan PKS, elak pengangguran besar-besaran


Oleh Wan Salman Wan Sallam

Kita mungkin menganggap hanya perusahaan kecil dan sederhana sahaja yang sangat teruk terkesan oleh sebab pandemik Covid-19 ini.

Namun berita risiko penutupan operasi PappaRich yang berdepan hutang RM37.22 juta membuka mata semua untuk kita semua untuk menilai sebaliknya.

Nah, jika syarikat sebesar itu pun amat terkesan dengan krisis ekonomi pandemik ini, apatah lagi yang boleh dihadapi sekali lagi oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)?

Tidak dapat tidak, kerajaan perlu segera mengetengahkan usaha yang ampuh bagi menyelamatkan PKS agar mereka dapat terus menghadapi krisis ekonomi pandemik ini.

Bukan sahaja kemerosotan PKS ini akan menjadikan krisis ekonomi yang sudah cukup teruk menjadi lebih teruk kerana kekurangan penggunaan sumber (resources), malah krisis ini akan menjadi lebih teruk kerana lingkupnya berjuta-juta PKS membawa erti hilangnya pekerjaan yang menambah lagi beban kepada krisis ekonomi negara.

PKS, terutamanya yang lebih kecil saiznya umumnya tidaklah mempunyai simpanan (reserve) yang besar untuk menghadapi sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat atau total lockdown yang sedang dilaksanakan sekarang.

Bagi PKS yang masih boleh beroperasi ketika total lockdown ini, mereka hanya boleh beroperasi secara terhad. Operasi restoran contohnya hanya dihadkan untuk bawa pulang dan penghantaran sahaja.

Pengehadan operasi ini sudah tentunya bermaksud kurangnya pulangan buat mereka. Namun pada masa yang sama, mereka masih perlu menanggung kos operasi yang hampir sama pre-lockdown ini seperti sewa bulanan, gaji pekerja dan utiliti, antara lainnya.

Isu ini menjadi lebih teruk jika kita bincangkan pula tentang operasi PKS yang tidak boleh beroperasi langsung ketika lockdown ini. Bukan sekadar pulangan berkurangan, malah mereka sudah pasti juga menanggung kerugian kerana terpaksa juga menanggung sewa walaupun tidak beroperasi.

Malah jika PKS itu memikirkan tentang pekerjanya, kemungkinan gaji mereka terpaksa dipotong untuk memastikan mereka masih punya pekerjaan jika PKS itu masih boleh beroperasi post-lockdown.

Kadar pengangguran tertinggi

Namun apa sebenarnya senario yang berkemungkinan besar terjadi jika PKS ini terus dibiarkan menanggung beban kewangan yang tinggi tanpa jaminan kewujudan mereka post-lockdown?

Jika total lockdown ini mahu dijalankan secara ampuh bagi benar-benar menurunkan bilangan kes harian sehingga hanya tinggal satu digit sahaja sehari, maka tidak dapat tidak lockdown ini perlu dilakukan sehingga sekurang-kurangnya tiga bulan, seperti PKP 1.0 tahun 2020.

Tetapi hal ini juga bermakna PKS akan terus menderita sehinggalah merisikokan kewujudan mereka post-lockdown. Bahayanya kehilangan mereka ini bermaksud hilangnya berjuta-juta pekerjaan rakyat kelas pertengahan dan bawahan.

Bukan sahaja kehilangan PKS ini bermaksud sumber-sumber tidak lagi diguna pakai, malah kehilangan sumber pendapatan hasil pengangguran golongan kelas pertengahan dan bawahan bermaksud merudumnya stimulasi ekonomi kerana lazimnya golongan inilah yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka berbanding golongan atasan.

Hal ini terbukti apabila Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran yang tertinggi sejak 27 tahun sebelumnya pada penghujung 2020 iaitu setinggi 4.5 peratus (The Malaysian Reserve, 8 Februari 2021).

Malah, DOSM melaporkan kadar pengangguran sehingga Mac 2021 masih tinggi iaitu 4.7 peratus (The Malaysian Reserve, 7 Mei 2021). Walaupun kadar ini dilaporkan semakin baik berbanding bulan-bulan sebelumnya pada tahun ini, namun kadar ini masih lagi amat tinggi dalam sejarah negara kita dan masih lagi lebih tinggi berbanding pada hujung 2020.

Jika total lockdown ini benar-benar berlangsung dengan amat ketat secara berpanjangan tanpa bantuan ampuh untuk PKS daripada kerajaan, adakah kadar pengangguran yang sudah sedia tinggi ini akan mengekalkan arah aliran menurun seperti sebelum ini?

Sesuatu yang lebih pasti ialah, jika situasi ini sama seperti PKP 1.0, kesan pada kadar pengangguran juga berkemungkinan besar juga seperti yang terjadi pada penghujung 2020.

Hal ini boleh dielakkan jika bantuan secukupnya diberikan sekali lagi kepada PKS seperti bantuan kos operasi sepenuhnya dan bantuan bayaran gaji pekerja setinggi mungkin agar bukan sahaja PKS ini tidak memecat pekerja mereka, malah kewujudan mereka selepas lockdown juga dapat dijamin, seterusnya menjamin kewujudan pekerjaan juga apabila PKS ini boleh beroperasi kembali.

Tidak dinafikan sememangnya ada bantuan kewangan yang telah diberikan untuk PKS yang berdaftar dengan SSM pada PKP 1.0 lalu.

Namun pengumuman bantuan ini agak lambat, seterusnya melambatkan lagi kelulusan bantuan ini yang sudah tentunya menyukarkan lagi PKS untuk terus bertahan sehingga kelulusan bantuan diberi.

Tidak semua PKS mampu bertahan pada masa yang sama tanpa pendapatan atau bantuan kewangan segera.

Malah sesuatu yang boleh dipelajari ialah, dengan semua bantuan kewangan untuk PKS dan rangsangan ekonomi yang telah diberi pada PKP 1.o lalu, negara masih juga menghadapi kadar pengangguran tertinggi sejak 27 tahun.

Hal ini bermakna, polisi rangsangan ekonomi perlu diperdebatkan dalam parlimen agar kesilapan sama tidak diulangi. Krisis ekonomi pandemik ini menandakan suatu kecemasan yang memerlukan pelaksanaan polisi yang ampuh, bukan sekadar pengumuman polisi asal ada sahaja.

Jika kerajaan masih lagi belum memikirkan usaha jangka masa panjang bagi memastikan keutuhan PKS selepas lockdown, maka bersedialah untuk hadapi kadar pengangguran yang berkemungkinan besar jatuh lebih teruk berbanding penghujung 2020. Mk

WAN SALMAN WAN SALLAM ialah aktivis Pertubuhan Ikram Malaysia.

Lebih ramai menganggur untuk tempoh lebih lama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker