Hishammuddin: Apa salahnya Najib bantu kempen BN di Cameron Highlands?

Isnin lalu, Najib Razak mengesahkan akan ke Cameron Highlands esok untuk membantu BN mempertahankan kerusi Parlimen itu.
CAMERON HIGHLANDS: Datuk Seri Najib Razak bebas turun membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di pilihan raya kecil Cameron Highlands, walaupun bekas perdana menteri itu berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah ketika ini, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bekas naib presiden Umno itu berkata, kes mahkamah Najib tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ahli Parlimen Pekan itu ialah anak tempatan dan pengundi setempat mahu lihat beliau hadir di Cameron Highlands.

“Malam semalam semua tahu saya duduk dengan Najib, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan saya percaya Najib turun ini mereka faham.

“Kes mahkamah satu hal, tapi asal-usulnya dari Pahang. Orang akan tengok, bicara biarkan mereka, tapi orang Pahang tengok beliau sebagai anak Pahang, sebagai bekas perdana menteri, pernah jadi MB Pahang, jadi apa nak jadi isu sangat?

“Kalau apa yang dia bawa untuk kebaikan, (biarlah) dia, ini negeri dia,” kata bekas menteri pertahanan itu ketika menemui veteran tentera di Felda Sungai Koyan, Jelai, hari ini.

Isnin lalu, Najib mengesahkan akan ke Cameron Highlands esok untuk membantu BN mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Bekas pengerusi BN itu dilaporkan berkata, beliau difahamkan ada permintaan tinggi dalam kalangan penduduk setempat yang mahu beliau hadir ke sana.

Umno Pahang memaklumkan media yang Najib akan hadir di Cameron Highlands esok, dengan lawatannya sudah disenaraikan dalam jadual aktiviti calon BN.

Hishammuddin Hussein menasihatkan pemimpin dan ahli Umno berhenti berbalah sesama sendiri dan menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai medan penyatuan untuk menguatkan BN.
Hentikan perbalahan

Hishammuddin menasihatkan pemimpin dan ahli Umno berhenti berbalah sesama sendiri dan menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai medan penyatuan untuk menguatkan BN.

“Saya nak beritahu Umno dan BN kena sedar kita mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan sebelum pilihan raya. Ini masa kita perbaiki diri.

“Mereka (Pakatan Harapan) tidak konsisten dalam dasar kementerian, benda pokok terbiar. Cameron Highlands ini kita sampaikan mesej jelas ‘we should now start governing’.

“Jentera Umno jangan ambil mudah PRK ini, cukup-cukuplah kita berbalah sesama kita, sekarang ini kita ada agenda lebih besar…Kali ini saya ucap terima kasih kepada MIC yang melihat kepada landskap politik, bantu membawa kefahaman baru dalam BN.”

Beliau turut mengingatkan ahli BN supaya mengelakkan tindakan cantas-mencantas terhadap calonnya yang tidak berpengalaman.

“Calon yang penting kena ikhlas. Calon kita datang dari asal-usul sederhana dan beliau telah berjaya dalam kerjaya.

“Jangan sebelum apa-apa lagi kita cantas-mencantas, kalau macam itu, tidak ada orang nak datang kepada parti kita. Umno ke mana, BN ke mana? Parti hanya kuat dengan pemimpin yang ikhlas dan jujur dan calon kita boleh dibimbing dengan nilai yang baik.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker