Anak Bell dipersendakan rakan sekolah

Anak Bell dipersendakan rakan sekolah

Anak Bell dipersendakan rakan sekolah

Ramadan lalu, nama pelakon Bell Ngasri menjadi hangat. Semuanya gara-gara watak Barkoba yang dilakonkannya dalam filem 18 Puasa di Kampong Pisang arahan Mamat Khalid.

Watak pemuda kampung tidak berpuasa pantas mencuri perhatian penonton. Malah ungkapan ‘yak yak yay’ yang sering disebutnya dan plastik hitam dipaparkan dalam karya itu menjadikan watak Barkoba popular hingga ada yang menjadikannya ikon orang tidak berpuasa.



Diminta mengulas perkara itu, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri mengakui terkejut, namun lucu dengan jolokan yang diberikan netizen.

“Tidak dinafikan, nama Barkoba menjadi sebutan netizen sepanjang bulan puasa. Malah, sebelum Ramadan wajah Barkoba sudah ditularkan dalam media sosial.

“Jujurnya, saya terkejut apabila ada yang menjadikan watak orang tidak puasa sebagai ikon. Selalunya, perkataan ikon ini dikaitkan dengan perkara baik-baik.

“Apapun sahaja gelaran yang diberikan, saya harap penonton dapat melihat watak ini daripada sudut positif. Seperti dipaparkan dalam filem ini, jika tidak puasa masuk dalam neraka,” katanya kepada BH Online ketika ditemubual kapsul hiburan BHTV, Apa Kes di Balai Berita, baru-baru ini.



Perkara lain yang tidak dapat dilupakan berkaitan watak Barkoba apabila ia menjadi bahan sendaan rakan sekolah anak-anaknya.

“Lucu apabila anak-anak mengadu kawan sekolah anggap saya tidak puasa disebabkan watak Barkoba. Iyalah, bapa orang lain jadi ikon baik-baik, tetapi berbeza dengan bapa mereka.

“Mujurlah, anak-anak sedia maklum bapa mereka seorang pelakon. Jadi, tidaklah mereka ambil serius dengan sendaan yang dibuat rakan sekolah,” ujar bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.

Barkoba

Melalui naskhah yang turut menampilkan pelakon, Aziz M Osman, Kazar Saisi, Namron, Mat London dan Jaafar Onn ini, Mamat turut menggambarkan babak dalam neraka untuk menunjukkan hukuman dikenakan ke atas Barkoba disebabkan dosa yang dilakukannya itu.



Babak itu, bagaimanapun, mendapat maklum balas negatif penonton yang rata-rata menyifatkan ia sangat sensitif dan seperti mempermainkan agama.

Mengulas perkara ini, anak kepada pasangan selebriti, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu menolak tanggapan berkenaan, sambil menjelaskan babak itu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada penonton.

“Sebelum penggambaran bermula, Abang Mamat sudah memaklumkan yang dia mahu menjentik kesedaran penonton menerusi naskhah ini. Ini kerana penonton semakin seronok dengan babak orang tidak puasa seperti dipaparkan dalam telemovie 16 Puasa dan 17 Puasa, sebelum ini.

“Justeru, Abang Mamat terpanggil memberikan kesedaran kepada penonton mengenai balasan bakal diterima mereka yang melanggar Rukun Islam. Cuma, ia disampaikan dengan cara santai dan bersesuaian dengan genre filem ini,” terang pelakon berusia 40 tahun ini.



Mengenai kekerapannya melakonkan watak komedi hingga tenggelam bakatnya sebagai pelakon serius seperti yang pernah dibawakan ketika awal pembabitannya dalam bidang lakonan, Bell berkata, ia berlaku disebabkan tiada tawaran untuk watak berat dan serius diterima.

“Mungkin penerbit takut nak bagi saya watak serius agaknya kerana bimbang ia akan jadi komedi. Jujurnya, memang tiada tawaran watak serius yang diterima, ketika ini.

“Sebagai pelakon, saya tidak kisah membawakan apa sahaja jenis watak. Asalkan penonton dapat menyaksikan naskhah yang dilakonkan sampai habis, itu sudah memadai. Jika bawa watak serius semata-mata mahu memenuhi kehendak, tetapi penonton menonton sekerat jalan pun tidak guna juga,” ujarnya. BH

Anak Bell dipersendakan rakan sekolah


Baca Artikel Menarik



Layari Laman Facebook MYKMU NET


Bagilah Bell Ngasri gelaran Datuk

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker