Sebelum disyariatkan Aidilfitri dan AidilAdha, umat Islam merayakan Marhojan

Sebaran :

Sebelum disyariatkan Aidilfitri dan AidilAdha, umat Islam merayakan MAHROJAN

Sebelum disyariatkan Aidilfitri dan AidilAdha, umat Islam merayakan MAHROJAN

Oleh kerana puasa difardhukan pada tahun ke 2 hijrah dan ibadat haji difardhukan pada tahun ke 6 hijrah, maka dapat kita pastikan Hari Raya Fitrah yang pertama dirayakan oleh umat Islam bermula pada tahun ke 2 hijrah, Hari Raya Korban yang pertama pula dimulakan pada tahun 6 hijrah.

Tentunya kedua-dua hari raya mula dirayakan pada tahun yang sama ialah di tahun ke 6 hijrah.



Sebelum ada perayaan hari raya fitrah dan hari raya korban, orang-orang Muhajirin dan Ansar dikatakan merayakan perayaan tahunan yang biasa mereka rayakan di zaman Jahiliyah, yang dikenali dengan mahrojan.

Setiap tahun mereka akan merayakan dua kali mahrojan. Kedua-duanya ada kaitan yang rapat dengan agama dan budaya Jahiliyah.

Di zaman awal di Madinah, Rasulullah s.a.w. tidak melarang mereka merayakan kedua-dua mahrojan tersebut. Sesudah difardhukan Ibadat Haji, maka Rasulullah s.a.w. bertindak menggantikan kedua-dua mahrojan dengan dua hari raya Fitrah dan Korban.


Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Adakah kamu mahu aku gantikan dua mahrojan kamu dengan dua hari kegembiraan. Iaitu Hari raya Fitrah dan Hari Raya Korban”

Dengan itu umat Islam berasa gembira kerana mereka telah dikurniakan oleh Allah, dua hari kegembiraan bagi menggantikan dua Mahrojan Jahiliyah.

Raikan hari raya dengan gembira tetapi berpada-pada

Sebenarnya Islam tidaklah melarang bersukaria dan bergembira di Hari Raya dengan berbagai hidangan makanan yang lazat-lazat, kenderaan baru, rumah baru, sofa baru, pakaian baru dan lain-lain, selagi semua perkara tersebut berada di dalam lingkungan syariat Islam.

Allah telah memerintahkan supaya orang mukmin mensyukuri sebaik-baiknya berbagai nikmat Allah sebagaimana firman Nya dalam surah ad-Dhuha: 11,

“Dan adapun nikmat Tuhanmu hendaklah kamu menyebutnya dengan bersyukur“

Allah juga berfirman dalam surah al-A’raf: 32,

“Katakanlah ya Muhammad, siapakah yang mengharamkan kesenangan hidup dunia dan berbagai rezeki yang baik-baik yang Allah jadikan untuk para hamba Nya. Katakanlah ya Muhammad semuanya itu adalah untuk orang-orang yang beriman di dunia ini dan khusus bagi mereka di hari akhirat”

Hari Raya waktu bergembira

Abu Bakar As-Sidiq r.a. melarang dua orang wanita yang sedang menyanyi-nyanyi di Hari Raya. Secara kebetulan Rasulullah s.a.w. berada di tempat itu, lalu Baginda menyuruh Abu Bakar membiarkan sahaja kedua-dua wanita tersebut terus menyanyi.

Mungkin Rasulullah s.a.w. mendapati kegembiraan dan nyanyian kedua wanita tersebut selaras dengan syariat Islam dan tidak menyalahi adab sopan wanita.

Namun, janganlah peristiwa tersebut dijadikan alasan oleh sesiapa sahaja untuk menyanyi sesuka hati di Hari Raya. Kita hendaklah ingat keadaan dan suasana kehidupan sosial di zaman lebih 1,400 tahun yang silam berbanding dengan kehidupan sosial kita di hari ini.

Kegembiraan yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah kegembiraan yang didorong oleh kesedaran hati bahawa Allah S.W.T. telah mengurniakan berbagai kebaikan dan rahmat menerusi ibadat puasa, sebagaimana yang Allah sebutkan dalam firman Nya surah Yunus: 58,

“Wahai Muhammad! engkau hendaklah ajarkan (umatmu) supaya mereka berasa suka dan gembira kerana telah menerima berbagai kurnia dan rahmat daripada Allah. (jika mereka gembira seperti ini) adalah lebih baik bagi mereka jika dibandingkan dengan harta kekayaan yang mereka kumpulkan”

Rasulullah s.a.w. juga bersabda,

“Orang mukmin yang sebenar ialah orang yang hatinya menjadi suka dengan kebaikan yang dilakukan, menjadi dukakcita dengan kejahatan yang dilakukan”

Ternyata rasa suka dan gembira bagi seorang mukmin adalah berkait rapat dengan kesedaran hatinya terhadap Allah dan rahmat Nya.

Sebuah hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud,

“Ada dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa; kegembiraan ketika berbuka (Hari Raya) dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya, Allah“

Mengikut pandangan golongan sufi bahawa kegembiraan bertemu dengan Allah adalah merupakan puncak kebahagiaan dan nikmat hidup di dunia mahupun di akhirat. Pandangan mereka ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Rahman: 46,

“Dan bagi orang yang benar-benar takutkan kebesaran Tuhannya Allah, ada dua syurga”

Menurut mereka, dua syurga yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah pertama musyahadah hati terhadap Allah ketika di dunia.

Inilah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. bahawa antara masa yang Baginda rasakan sangat suka dan bahagia ialah ketika khusyuk di dalam solat.

Syurga keduanya ialah nikmat memandang Zat Allah dengan mata kepala di akhirat nanti. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Qiyamah: 22 & 23,

“Wajah mereka (orang yang hampir kepada Allah) berseri-seri kerana mata mereka memandang Tuhan mereka Allah“

Begitulah sifat yang perlu ditunjukkan sewaktu hari raya. Walaupun dalam masa dua tahun ini kita umat Islam menyambut hari raya dalam suasana yang suram kerana keadaan covid 19 yang masih tidak reda, namun tunjukkanlah perasaan gembira dan ceria sebagai memenuhi manifestasi hari raya yang disyariatkan Allah. Wallahu a’lam. Utv

Sebelum disyariatkan Aidilfitri dan AidilAdha, umat Islam merayakan MAHROJAN


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


BDR : Jujur laksanakan tugas seperti yang dituntut agama


Sebaran :

Leave a Reply