Salmah jumpa pontianak menyerupai Maria Menado


Tiada sekelumit perasaan menyesal dalam diri apabila mengambil keputusan meninggalkan dunia persada seni ketika namanya berada di kemuncak.

Namun, demi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga dibina ketika berusia 17 tahun, bintang veteran, Salmah Ahmad akhirnya nekad bersara.

Tenang menjalani kehidupan selepas tidak bergelar bintang, Salmah berkata, dia tidak sanggup berdepan dengan onak duri sebagai anak wayang antara sebab tidak mahu meneruskan kerjaya lakonan.

Katanya, antara peristiwa yang masih segar dalam ingatan dan menjadi punca hatinya tekad meninggal pentas seni disebabkan diserang isteri seorang aktor handalan di lokasi penggambaran gara-gara cemburu.



Salmah atau nama sebenarnya, Salmah Lagio berkata, wanita berkenaan menuduhnya mempunyai skandal dengan aktor berkenaan berdasarkan sekeping gambar.

“Isteri aktor berkenaan mengacau saya di lokasi penggambaran. Malah, dia juga menuduh saya mempunyai hasrat merampas suaminya hanya kerana kami digandingkan bersama. Dia menyimpulkan saya mempunyai niat jahat apabila bergandingan dalam filem bersama suaminya.

“Tuduhan dibuat selepas melihat sekeping gambar yang memaparkan saya dan suaminya membaca skrip bersama, sedangkan ada ramai orang di sekeliling ketika gambar diambil.

“Geram dengan perbuatannya, saya beri amaran supaya tidak mengganggu atau saya akan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada ketika ditemui pada majlis Seloka Legenda – Bicara Bintang Legenda Bersama Seniwati Datuk Rosnani Jamil dan Salmah Ahmad yang berlangsung di Lembaga Pelancongan Malaysia (MATIC), baru-baru ini.



Salmah yang popular dengan watak pontianak menjelaskan, dia tidak menjalinkan hubungan dengan aktor yang dimaksudkan kerana sudah bergelar isteri pada waktu itu.

“Hubungan kami profesional dan berlakon bersama atas kehendak syarikat produksi. Lagipun, saya sudah berkahwin ketika mula menceburkan diri dalam dunia lakonan.

“Saya menjelaskan perkara ini kepada wanita berkenaan. Jika benar saya mahu merampas suaminya, lebih baik saya buat secara senyap-senyap. Jujurnya, perkara seumpama inilah membuatkan saya tawar hati untuk terus berlakon.

“Buat baik macam mana sekalipun, orang tetap akan tuduh buat jahat,” ujar pelakon filem Pontianak dan Jula Juli Bintang Tiga itu.




Antara satu babak Salmah Ahmad (kanan) bersama Datuk Seri Maria Menado ketika membintangi filem Dendam Pontianak.

Salmah menambah, meskipun dia boleh menghidu niat aktor berkenaan yang diam-diam menyimpan perasaan terhadapnya, namun dia seboleh mungkin mengelak untuk terjebak dengan skandal di lokasi penggambaran.

Tidak menyimpan dendam, bintang legenda itu sudah pun bermaafan dengan isteri aktor berkenaan ketika bertemu dalam satu majlis beberapa tahun lalu, sebelum wanita itu menghembuskan nafas yang terakhir.

Dalam temubual itu, wanita kelahiran Johor Bahru itu turut menceritakan mengapa dirinya menjadi satu-satunya aktres era 1950-an yang tidak bergandingan dengan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee di layar perak.



“Arwah pernah menawarkan watak Cikgu Norkiah dalam filem Masam Masam Manis. Bagaimanapun, saya terpaksa menolaknya kerana pada masa itu, kontrak bersama Studio Merdeka akan tamat dalam tempoh lima bulan.

“Saya tolak kerana tempoh penggambaran agak panjang. Keputusan saya mengecewakan arwah. Malah, beliau menyangka saya menolak berlakon dengannya kerana perspektif negatif terhadapnya. Akhirnya, watak Cikgu Norkiah diserahkan kepada Allahyarham Sharifah Hanim,” ujarnya.

Ditanya adakah dia menyesal dengan keputusan yang dibuat, lebih lagi selepas filem Masam Masam Manis menjadi karya malar segar, Salmah berkata, tiada kekesalan yang timbul, sebaliknya menyifatkan keputusan yang dibuat sangat tepat.

“Antara sebab lain saya tolak membawakan watak Cikgu Norkiah kerana saya berasakan watak ini tidak sesuai dengan saya. Justeru, apabila melihat filem itu sukses, saya sangat bersyukur kerana Sharifah Hanim berjaya membawakan watak Cikgu Norkiah dengan baik,” ujarnya.



Pada pertemuan itu, Salmah sempat juga berkongsi pengalaman seram ketika menjalani penggambaran filem Pontianak arahan BN Rao terbitan Cathay Keris bersama pelakon utamanya, Datuk Seri Maria Menado.

Disebabkan pengalaman menakutkan itu, Salmah mengakui, hampir serik untuk meneruskan kerjaya lakonannya.

“Kejadian berlaku pada satu malam. Waktu itu, saya rasa sangat lapar dan mahu mencari makanan. Selepas memaklumkan kepada Maria yang sudah bersiap untuk masuk lokasi penggambaran watak Pontianak, saya pun turun ke bawah.

“Tiba-tiba saya ternampak kelibat Maria terbaring di bawah pokok, lengkap berpakaian dan mengenakan solekan seperti wataknya itu. Ia sangat mengejutkan kerana agak mustahil Maria boleh berada di situ, sedangkan dia berada di atas rumah bersama saya.



“Apabila saya maklumkan perkara ini kepada kru produksi, mereka juga terkejut. Dari situ, saya tahu kelibat yang dilihat menyerupai Maria adalah pontianak sebenar. Gara-gara kejadian ini, saya demam dan hampir menarik diri daripada membintangi dalam filem Pontianak,” cerita Salmah.

Salmah menceburi bidang lakonan ketika berusia 17 tahun selepas memenangi pertandingan Ratu Cantik anjuran UMNO Johor Bahru.

Antara filem dibintanginya termasuklah Pontianak, Sumpah Pontianak, Dendam Pontianak, Orang Minyak dan Keris Sempena Riau.

Filem Tun Mandan arahan Allahyarham Salleh Ghani yang diterbitkan pada 1964 menjadi filem terakhir, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan. BH

Usia cecah 50 tahun, Nasha Aziz kekal ‘meletup’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker