Ibu ‘beralah’ selamatkan pesakit Covid-19

Sebaran :


Berkali-kali Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara semakin kritikal apabila mencecah 91% beberapa hari lalu.

Situasi itu mencerminkan perkhidmatan kesihatan negara kini dalam keadaan tenat apabila ia bukan sahaja perlu merawat pesakit Covid-19, bahkan pesakit lain juga.

Pengguna Twitter, Wan Mohamad Nazri Hashim berkongsi kisah menyayat hati bagaimana ibunya terpaksa “berkorban” demi menyelamatkan pesakit Covid-19 yang turut sama bertarung nyawa ketika menerima rawatan.

Memulakan kisahnya, Nazri berkata, ibunya, Raja Nahzar Hasnah Raja Mahmud menghidap penyakit batu karang, namun, terpaksa menanti hampir sebulan untuk menjalani pembedahan kerana perlu menunggu giliran.

Tidak mampu untuk menanggung kesakitan lagi, ibunya dikejarkan ke Jabatan Kecemasan di sebuah hospital dan doktor yang merawat mengesahkan batu karang berkenaan sudah mencucuk ke hempedu dan menyebabkan nanah dan jangkitan ke paru-paru.

Keadaan pernafasan ibunya ketika itu sangat kritikal, namun doktor memaklumkan bantuan ventilator tidak dapat diberikan kerana bekalannya sangat terhad dan digunakan untuk pesakit Covid-19.

“Mak aku pun tengah kritikal tapi disebabkan wad ICU semua dah penuh dengan pesakit Covid-19, mesin (ventilator) dah tak cukup.

“Faktor umur mak aku yang dah berusia dan faktor dalaman, mereka tak dapat bagi ventilator sebab katanya mak aku ‘tiada harapan’.

“Doktor pun tak boleh nak lakukan prosedur untuk buang nanah dalam hempedu mak aku disebabkan pernafasan mak aku tak berapa baik,” luahnya tanpa menyebut lokasi hospital yang merawat ibu beliau.

“Jadi, dia orang tunggu hari ke hari. Masukkan antibiotik dengan harapan pernafasan mak aku menjadi baik supaya boleh teruskan dengan prosedur itu.”

Dalam masa sama Nazri berkata, ibunya dibekalkan oksigen, namun perlu menggunakannya secara manual jika memerlukan.

“Aku tengok mak aku guna oksigen yang hospital bagi, pam guna tangan sendiri secara manual bila terasa sesak nafas.

“Doktor cakap dia tidak dapat bantu mak aku lebih lagi sekiranya mak aku dah mula nazak sebab dia orang tahu trend penyakit ni dengan keadaan mak aku, mmg ‘tiada harapan’,” katanya.

Selepas dua minggu bertarung nyawa, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei dengan disaksikan beliau dan ahli keluarga lain.

“Aku sendiri tengok mak aku tak cukup nafas. Dan aku sendiri lihat bagaimana nafas itu terhenti. Sumpah perasaan sebak tu tak boleh nak bayangkan.

“Apa pun aku bersyukur ibu negatif Covid-19. Sekurang-kurangnya aku dapat jadi imam solatkan mak aku.

“Dapat teman mak aku naik van, mandikan, sampailah kali terakhir dalam liang lahad dan dapat lihat wajah mak aku tersenyum,” katanya lagi.

Katanya, situasi yang berlaku di wad ICU ketika ini ibarat pegawai perubatan perlu memilih dua orang sedang lemas dan hanya seorang boleh diselamatkan.

“Jadi sekarang ni keadaan di hospital dah berada di tahap di mana mereka kena pilih pesakit mana yang nak diselamatkan dulu.

“Pesakit Covid-19 ini memberi kesan pada pesakit normal lain yang tengah kritikal dan memerlukan rawatan.”

Bagaimanapun beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kehilangan insan tersayang, tetapi mahu perkongsian itu dijadikan iktibar bahawa angka jangkitan yang tinggi ketika ini adalah benar.

“Hospital di Malaysia sangat kritikal. Doktor pun tak cukup sekarang dekat hospital.

“Ramai dah kena ‘transfer’ untuk jadi ‘frontliner’. Untuk pesakit normal, doktor yang nak rawat mereka juga berkurang. Sehingga kena ‘Q’ panjang.

“Mak aku tak sempat nak buat rawatan cepat sebab kuman dah merebak ke seluruh badan,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan vaksin yang tersedia dan turut mendaftarkan ibu bapa untuk divaksin.

“Jangan tunggu jenis vaksin apa yang ‘available’. Jangan jadi anti vaksin. Apa yang ada, kita ambil dulu. Tolong daftarkan mak ayah korang untuk ambil vaksin juga,” katanya. FMT

Apa maksud kerajaan dengan ‘lockdown’ kendiri ?


Sebaran :

Leave a Reply