‘Inilah Harga Ideal Untuk Kami Tampung Semula Rugi’

Hanya selepas empat hari perlaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2021 berakhir, rata-rata peniaga di beberapa buah negeri dikesan telah menaikkan harga ayam sehingga mencecah RM9.50 sekilogram.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! semalam, kebanyakan peniaga ayam yang ditemui mengakui agak sukar untuk mengekalkan harga siling iaitu RM7.90 sekilogram seperti yang ditetapkan menerusi SHMMP sebelum ini.



Di Pulau Pinang, harga ayam segar di pasar awam di negeri itu kembali mencecah RM9.50 seki­logram dengan kesemua peniaga mula mempamerkan harga ber­kenaan selepas 24 jam SHMMP ber­akhir.

Peniaga di tiga pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut berkata, mereka tidak me­nunggu lama untuk menggantikan harga asal pada papan tanda disebabkan berdepan pelbagai cabaran termasuk kerugian besar sepanjang tempoh SHMMP.

Peniaga ayam di pasar awam daerah Barat Daya dikenali sebagai Azlan, 51, berkata, ini merupakan masa paling sesuai untuk mereka menampung semula kerugian yang mencecah sehingga RM40,000 sepanjang 30 hari SHMMP Aidilfitri dilaksanakan.

Menurutnya, harga RM9.50 sekilogram yang ditetapkan itu juga adalah paling ideal bagi peniaga-peniaga ayam segar di pasar awam dan dianggap sangat berpatutan.



“Ini adalah harga ideal untuk kami tampung semula modal setelah berdepan kerugian selama sebulan sejak April lalu. Bayangkan, dalam tempoh 15 hari (semasa SHMMP), saya terpaksa tanggung rugi RM20,000 termasuk membayar kos plastik, bil api dan air, gaji pekerja dan pengurusan.

“Kenaikan kembali harga ayam ini bukan disebabkan pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, tetapi untuk kami memperoleh semula pendapatan yang terjejas,” katanya.

Seorang lagi peniaga dikena­li sebagai Suhaila, 48, berkata, mereka mempunyai alasan ter­sendiri berhubung kenaikan semula harga ayam.

“Kami gigit jari dan terpaksa mematuhi arahan kerajaan bagi harga kawalan musim perayaan demi kepuasan pelanggan.



“Sepatutnya semua pihak tahu akan masalah yang dihadapi di peringkat peniaga atau peruncit.

“Berat ayam segar yang diperoleh biasanya menyusut berbanding sebelum bertukar ta­ngan daripada penternak dan pemborong,” tambahnya.

Di Terengganu, harga ayam di beberapa daerah di negeri ini kembali melonjak kepada RM9 sekilogram berbanding RM7.90 sebelum ini.

Peniaga ayam di Pasar Batu Enam, Mohd. Mazlin Mohammad mendakwa, mereka tidak mempunyai pilihan ekoran harga tinggi yang ditawarkan pemborong.



“Harga RM9 sekilogram ini masih rendah berbanding RM12 sebelum pelaksanaan SHMMP.

“Lagipun, keuntungan kami sebagai peruncit tidak banyak berbanding yang diraih pihak pemborong,” katanya.

Di Pahang, beberapa peniaga mendakwa, kenaikan harga ayam sehingga melebihi RM9 sekilogram ditentukan oleh kumpulan pembekal serta pemborong dan tidak boleh dikawal secara langsung oleh peniaga.

Peniaga Pasar Besar Kuantan, Abdul Mujib Ali berkata, kenaikan secara mendadak selepas tempoh SHMMP berakhir adalah susulan harga tinggi yang diberikan oleh pembekal.



“Kami terima bekalan daripada pembekal dan pemborong pada harga yang sudah tinggi, jadi tidak ada pilihan kerana harga itu ditentukan mereka.

“Sebagai peniaga, kami juga perlu pendapatan, bukan semata-mata untung. Jadi, kami perlu jual pada harga tertentu atau langsung tidak dapat apa-apa (keuntungan),” katanya.

Di Johor, tinjauan di dua buah pasar raya utama di sekitar Johor Bahru mendapati terdapat perbezaan harga antara premis.

Di sebuah pasar besar di bandar ini, peniaga meletakkan harga RM8.80 sekilogram yang mana mereka dakwa di bawah harga kawalan.



Bagaimanapun, di Pasar Raya Econsave Taman Daiman di sini, harga yang ditawarkan bagi seki­logram ayam ialah RM7.69.-K! ONLINE

Resepi ayam goreng berempah dan kuah nasi kukus

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker