20 hari ‘Bertarung Nyawa’ Untuk Hidup

Sebaran :

“Sepanjang hidup saya takkan lupakan malam 1 Mei lalu. Malam itu saya bertarung nyawa dengan virus Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU). Degupan jantung saya jatuh hingga 40 denyutan seminit setiap 30 minit ketika diberi bantuan pernafasan. Itu kiranya paras bahaya. Paras normal 60-100 degupan seminit.”

Begitulah pengalaman yang disifatkan sebagai ‘ngeri’ oleh Eksekutif Jualan, Toh Sharon, 48, sepanjang dia menjalani rawatan intensif Covid-19 selama 20 hari di Hospital Melaka.

Ibu dua anak berusia 22 dan 25 tahun itu, tidak sesekali menyangka begitu hebat penangan virus Covid-19 yang menyerang dirinya hingga terpaksa bertarung nyawa dengan bantuan mesin pernafasan sebagai pesakit tahap empat.

“Saya masih ingat lagi apa yang berlaku pada malam itu. Walaupun badan saya penuh dipasang dengan tiub bantuan pernafasan yang disambung ke tangki oksigen, antara sedar dan tidak saya masih berasa sangat sukar bernafas seolah-olah hampir putus nyawa.

“Mujurlah saya cekal untuk melawan dan terus kuat meneruskan perjuangan untuk hidup hinggalah paras oksigen dalam badan saya semakin pulih dengan bantuan barisan petugas hadapan,” kongsi Toh.

Semuanya bermula apabila dia keluar makan malam dengan seorang rakan di sebuah restoran di Melaka pada 18 April lalu dan kemudian dimaklumkan statusnya sebagai kontak rapat kepada rakannya yang disahkan positif Covid-19, tiga hari selepas itu.

“Pada malam itu saya berkongsi makanan bersama dengan rakan saya. Pada 21 April saya dimaklumkan dia positif Covid-19 dan saya pula kontak rapat dia.

“Saya kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri daripada anak lelaki meskipun saya belum membuat ujian calitan Covid-19 di mana-mana klinik,” katanya.

Toh, yang berasal dari bandar Melaka itu ke klinik kesihatan untuk membuat ujian calitan Covid-19 bersama-sama anak lelakinya pada 22 April lalu dan kemudian disahkan positif.

“Syukur pada ketika itu anak lelaki saya disahkan negatif. Sebenarnya sehari sebelum ujian calitan itu, saya mula mengalami gejala demam, sakit tekak, selesema, cirit-birit dan sakit-sakit sengal hingga sukar untuk bangun tidur.

“Saya dipakaikan gelang merah jambu, diarah untuk terus kuarantin di rumah dan menunggu panggilan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin Maeps di Serdang, Selangor,” katanya.

Ketika Toh menunggu giliran untuk dipindahkan ke pusat kuarantin di Hospital Melaka pada 25 April lalu, dia dimaklumkan petugas kesihatan bahawa kandungan oksigen dalam badannya kurang daripada 88 peratus dan terpaksa dimasukkan ke ICU untuk pemantauan selepas menjalani pemeriksaan.

“Kandungan oksigen normal adalah 95 peratus ke atas, ketika itu saya pun terpinga-pinga dan mengikut sahaja arahan petugas kesihatan untuk ke ICU Hospital Melaka, namun pada malam itu suhu badan saya naik mendadak hingga 39.6 darjah Celsius dan terus tidak sedarkan diri.

“Keesokkannya baru saya sedar dan ketika itu, badan saya penuh dengan tiub bantuan pernafasan, dalam keadaan terpinga-pinga doktor memberitahu bahawa seluruh paru-paru saya dijangkiti virus berdasarkan laporan X-ray, ” katanya.

Menurut Toh, dia diberi pilihan untuk mengambil ubat antiviral Favipiravir selama lima hari bagi membantu memulihkan keadaan paru-parunya dan turut diberitahu kesan sampingan serta pengambilannya masih dalam fasa klinikal.

Tanpa berasa ragu, dia bersetuju mengambil ubat antiviral berkenaan dan keadaannya dipantau dari semasa ke semasa.

“Sepanjang pengambilan ubat itu, saya tidak boleh mengambil ubat fever (demam) dan perlu mandi air sejuk setiap hari bagi menurunkan suhu badan, hinggalah pada satu tahap suhu badan semakin tinggi serta terpaksa dicucuk steroid untuk merawat paru-paru saya,” katanya.

Selepas sembilan hari berada di ICU, keadaannya semakin pulih dan dibenarkan berpindah ke wad biasa, namun masih di bawah pemantauan dari semasa ke semasa.

“Syukur selepas 20 hari berada di hospital, akhirnya pada 14 Mei lalu saya dibenarkan discaj, namun doktor menasihatkan saya supaya tidak lagi menjalankan aktiviti lasak seperti sebelum ini kerana bila-bila masa virus itu akan menyerang jika saya tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.

“Walaupun dibenarkan discaj, keadaan kesihatan saya tidak lagi seperti dulu. Saya mudah letih dan perlu berjaga-jaga dari segi kehidupan seharian kerana saya masih lagi dalam fasa pemulihan,” katanya.

Menurut Toh, ramai yang memandang ringan jangkitan Covid-19 dan masih menganggap ia hanya demam biasa dan hilang deria rasa sertabau.

“Namun demikian, saya sangat berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa kami dan sanggup berkorban cuti Aidilfitri demi menjaga pesakit kritikal seperti saya,” katanya.-HM

‘Mengucap mak’, panggilan terakhir korban Covid-19 bersama semua anak runtun jiwa


Sebaran :

Leave a Reply