Rayuan kes dadah anak Mat Sabu 29 Julai
KUALA LUMPUR: Rayuan anak bekas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 29 Julai ini.
Peguam Nasar Khan yang mewakili Ahmad Saiful Islam selaku perayu, berkata rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
“Mahkamah memerintahkan pihak kami dan pendakwaan selaku responden dalam kes ini memfailkan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Farah Azura Mohd Saad hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Mengikut pertuduhan, Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel, di sini, pada 2.05 pagi, 5 Jan 2019.
Berdasarkan notis rayuan difailkan pada 2 Julai tahun lepas, Saiful merayu terhadap keputusan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim pada 24 Jun tahun lalu yang mensabitkan perayu dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menghukumnya dengan penjara selama lapan bulan.
Aizat menjatuhkan hukuman itu terhadap Saiful, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah juga mengarahkannya menjalani dua tahun pengawasan bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta polis sejurus menjalani hukuman penjara itu.
Saiful diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh keputusan.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Dia diperintahkan membayar wang jaminan RM9,000 serta menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan. FMT
You must be logged in to post a comment.