Malu apa kerajaan ku?
Oleh Mohsin Abdullah
Kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin membelanjakan lebih RM600 billion bagi memerangi Covid-19. Ini pengakuan Muhyiddin sendiri. Namun Covid-19 terus menular dan kes jangkitan mencatat angka menakutkan.
RM600 bilion satu jumlah yang besar. Oleh itu menurut bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ia harus membawa kepada kejayaan menamatkan pandemik ini. “RM600 bilion adalah jumlah yang banyak. Bukan mudah membelanjakan wang sebanyak itu dalam tempoh yang cukup singkat. Kita perlu tahu,” kata beliau.
Benar kita – rakyat – perlu tahu dan mahu tahu. Covid-19 terus mengganas walaupun kerajaan berbelanja besar dan juga mengisytiharkan darurat yang kata mereka wajib dilaksanakan demi memerangi pandemik.
Hakikatnya kerajaan gagal. Untuk melembutkan bahasa, saya kata kerajaan tidak berjaya. Di samping mahu tahu bagaimana RM600 bilion dibelanjakan dalam masa singkat kita mahu tahu dimana silapnya.
Malah kerajaan sendiri mesti mengkaji apa yang tersilap dan yang tersalah. Bukan untuk menuding jari dan sebagainya. Sebaliknya, untuk belajar daripada kesilapan, kesalahan, dan kepincangan. Jika ada (rasanya tentu ada). Demi mencari jalan paling baik dan strategi terbaharu untuk menewaskan Covid-19.
Usah malu mengaku silap. Usah malu juga untuk mendengar dan menerima nasihat serta cadangan pelbagai pihak termasuk musuh politik.
Mahathir sudah memberi cadangan apa yang perlu dilakukan kerajaan dalam perang Covid-19 ini. Bukan kali pertama beliau mengutarakan cadangan. Begitu juga Najib Razak, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, dan ramai lagi.
Mereka semua beberapa kali melontar cadangan dan idea. Sama ada kita suka mereka atau tidak soal lain. Yang perlu ialah dengar apa yang mereka cadangkan. Cadangan dibuat demi kebaikan rakyat dan negara. Diakui ada juga ketika mereka mengambil peluang atau kesempatan untuk mengkritik dan membidas kerajaan. Benar. Apa lagi, kerana ahli politik yang perlu menunjukkan kebijaksanaan mereka melebihi pimpinan kerajaan.
Ketepikan itu semua buat seketika. Tidak dinafikan banyak juga cadangan yang mereka lontarkan bernas dan amat baik sekali. Diakui juga bukan semua yang dicadangkan praktikal dan boleh dilaksanakan.
Oleh itu, seperti yang dikatakan tadi, dengar dan teliti dahulu apa yang mereka katakan. Ambil yang benar-benar bagus, yang logik dan yang boleh dilaksanakan. Ajak mereka duduk semeja berbincang untuk menghalusi cadangan yang dibentang. Cari yang terbaik dan laksanakan. Untuk kebaikan bersama, untuk kebaikan semua. Tidak ada ruang untuk politik, ego, malu atau mengakui pandai dan menuduh orang lain bodoh.
Seperti dikatakan tadi juga banyak cadangan yang bagus. Saya tidak berhasrat menghuraikan satu persatu apa yang telah dicadangkan. Saya fikir kerajaan sendiri tahu apa yang telah dikemukakan walaupun cadangan kerap dilontar menerusi media, bukan secara langsung ke Putrajaya. Mungkin kerana tidak ada saluran yang boleh mereka gunakan?
Saya ulangi jangan malu mengakui silap. Jangan malu terima cadangan pihak musuh jika cadangan itu baik untuk rakyat dan negara.
Selain orang politik, saranan pakar perubatan luar kerajaan, pakar ekonomi, dan pakar pelbagai bidang mesti diambil kira juga. Mereka ini juga kerap memberi bermacam cadangan yang bagus. Malangnya kerap diabaikan. Mungkin kerana ada yang di antara mereka dicop pro-pembangkang dan anti-kerajaan.
Contohi juga negara jiran. Mereka tidak memberi cadangan kerana tidak mahu mencampuri urusan dalaman Malaysia. Atau tidak mahu dituduh begitu. Pakar ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram berkata Malaysia perlu mengambil teladan daripada negara lain termasuk negara dunia ketiga yang lebih berjaya menangani pandemik Covid-19.
Tanpa cakap berlapik, Jomo dipetik berkata April lalu bahawa Malaysia tidak boleh bodoh sombong. Malah perlu merendah diri belajar daripada negara jiran terdekat, termasuk yang lebih miskin, dalam soal pengurusan pandemik Covid-19.
“Vietnam lebih miskin daripada kita, Laos negara termiskin dalam Asean. Tetapi mereka lebih berjaya daripada kita. Apa sebabnya? Laos bersempadan dengan China (negara Covid-19 mula tersebar). Tapi mungkin kita macam bodoh sombong. Kita terikut ikut kaedah Barat. Bagi saya tindakan yang pragmatis perlu,” Jomo dipetik berkata.
Bercakap mengenai negara yang lebih miskin daripada kita – saya ingin memetik satu laporan berita mengenai Malawi, negara di benua Afrika yang jauh lebih miskin jika dibandingkan dengan negara kita.
Menurut laporan media, pihak berkuasa kesihatan Malawi memusnahkan (dengan cara membakar) hampir 20,000 dos sejenis vaksin Covid-19 yang telah melepasi tarikh luputnya. Dalam bahasa lazim sudah “expired”.
Malawi menerima 102,000 dos vaksin daripada Kesatuan Afrika pada 26 Mac dan menggunakan 80% daripadanya untuk suntikan rakyatnya. Namun tarikh luput vaksin itu yang dicatat pada labelnya ialah 13 April. Oleh itu, baki vaksin yang masih belum digunakan terpaksa ditarik keluar dan Malawi tidak ada pilihan selain memusnahkannya dengan cara membakar.
“Jika kami tidak membakar vaksin itu, orang ramai akan kata kami menggunakan vaksin yang sudah ‘expired’ dan jika mereka tidak datang untuk dapatkan suntikan kelak mereka akan dijangkiti Covid-19 dengan teruk,” kata Setiausaha Utama Kesihatan Malawi. Dr Charles Mwansambo. kepada BBC.
Itu contoh ketelusan dan bercakap terus-terang atas sifat sayangkan rakyat. Sesuatu yang baik untuk dicontohi. Walau ia datang dari negara kecil dan miskin. FMT
You must be logged in to post a comment.