Bekas ketua risikan tentera didenda RM70,000 kerana rasuah


PETALING JAYA: Seorang bekas ketua risikan tentera didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, selepas mengaku salah menerima benda berharga dalam bentuk perkhidmatan bernilai RM10,000 serta wang tunai RM50,000.

Menurut laporan Bernama, Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Staf Perisikan, Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan, 60, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Sheikh Mokhsin didenda RM55,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan pilihan, dia didenda RM15,000 atau penjara tiga bulan. Dia membayar denda itu.

Mahkamah turut memerintahkan wang yang disita berkenaan kes ini dilucut hak kepada kerajaan mengikut Seksyen 40 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Sheikh Mokhsin sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan di Kementerian Pertahanan, didakwa dibayar oleh seorang pengarah syarikat pembekalan peralatan dan perisian ketenteraan bernilai RM10,000.

Bagi pertuduhan pilihan pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah RM50,000 untuk dirinya daripada individu sama.

Bagi kedua-dua tuduhan itu, dia didakwa mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Langkawi, Kedah dan di pejabatnya di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini, antara 21 dan 26 Jun 2020.



Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Sheikh Mokhsin telah menerima perkhidmatan itu sewaktu mengadakan lawatan Ops Benteng di Langkawi. Perkhidmatan dan wang tunai itu diterima berkaitan dengan pembekalan dron daripada syarikat milik pengarah syarikat tersebut.

Peguam Mohd Shahrom Mohamad yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan iaitu sekadar denda untuk anak guamnya, atas alasan Syed Mokhsin telah insaf dan membuat pengakuan salah dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira jasa anak guam saya yang telah berkhidmat 41 tahun dalam bidang ketenteraan, termasuk dalam misi United Nations Peacekeeping Operation di Iraq dan selaku Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa di Mindanao, Filipina.



“Beliau juga telah diminta oleh pihak kementerian untuk bersara lebih awal pada 31 Julai 2020 susulan penangkapan dan siasatan oleh SPRM berkenaan kes ini. Anak guam saya juga penanggung utama keluarga dan ketika ini, beliau masih menanggung isteri dan empat orang anaknya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Siti Norhafizan Zakaria membantah hukuman berbentuk denda mengambil kira faktor kekerapan penularan jenayah rasuah dalam masyarakat.

“Mitigasi tertuduh secara keseluruhan hanya bertumpu pada kepentingan peribadi semata-mata. Saya mohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat yang dapat memberi pengajaran kepada orang awam tentang keseriusan jenayah rasuah,” katanya. FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker