Vaksin seramai mungkin, jangan tumpu imuniti kelompok – Dr Adeeba

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar tidak terlalu menumpukan kepada usaha membentuk imuniti kelompok sebaliknya memastikan seramai mungkin orang divaksin, dengan memberi tumpuan di negeri yang mempunyai kadar jangkitan tinggi.

Menurut Pakar Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, perkara yang penting dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah untuk melindungi mereka yang berisiko daripada dijangkiti COVID-19 yang teruk.

“Secara peribadi saya berpendapat, daripada kita taksub dengan 80 peratus imuniti kelompok di seluruh negara, kita sepatutnya memberi perhatian kepada negeri-negeri yang ada kadar yang agak tinggi.

“Perlu beri perhatian untuk pastikan vaksin diberikan segera kepada mereka yang berumur lebih 60 tahun atau kurang 60 tahun tetapi mengalami kencing manis dan sebagainya.

“(Selain itu) Disebabkan krisis yang dihadapi sekarang ialah tidak cukup katil disebabkan ramai yang dimasukkan ke hospital maka kerajaan perlu memberi perhatian memberi vaksin di negeri-negeri yang mempunyai kadar jangkitan yang tinggi,” katanya kepada Astro AWANI dalam program Leaders Speakeasy yang bertajuk Memimpin Menerusi Sains di Tengah Kekeliruan.

Dr Adeeba yang juga Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan, vaksin jelas telah mengurangkan kadar kematian dan mengurangkan kadar jangkitan yang teruk.

Ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang juga Pakar Penyakit Berjangkit Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman

“Dalam satu kajian oleh Public Health England yang keluar minggu lepas menunjukkan dengan satu dos AstraZeneca di United Kingdom, mereka boleh mengurangkan kadar kematian setinggi 80 peratus dan juga kadar kemasukkan ke hospital bagi mereka yang berumur lebih 60 tahun.

“Kajian itu mendapati, satu dos AstraZeneca mengurangkan kematian kepada 80 peratus dan satu dos Pfizer juga mengurangkan kematian pada jumlah yang sama serta dua dos Pfizer mengurangkan kematian kepada 97 peratus,” katanya lagi.

Justeru beliau menegaskan apa yang penting adalah memastikan vaskin diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi sebanyak dan secepat mungkin.

PKP penuh untuk terus hidup

Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan meningkatkan kesedaran terhadap orang ramai tentang keperluan mendapatkan vaksin COVID-19.

Dr Adeeba berpendapat perkara itu perlu dilakukan kerana masih ramai yang keliru tentang kesan sampingan pengambilan vaksin.

“Kerajaan perlu meningkat komunikasi dengan menggunakan dengan bahasa yang mudah difahami dan secara telus.

“Ramai yang masih keliru dan takut dengan kesan sampingan yang boleh didapati dari pengambilan vaksin,” katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai agar mendapatkan maklumat tentang pengambilan vaksin dan COVID-19 daripada sumber yang sahih.


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook My KMU NET

Henti PKP ‘sekejap buka sekejap tutup’, laksana ‘lockdown’ ala Mac 2020, desak CUEPACS

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker