Pakar cadang PKP lebih ketat, tutup pusat beli-belah untuk kawal COVID-19



Sebaran :


Malaysia perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh sekiranya mahu menurunkan semula kes positif COVID-19 yang kian meningkat sejak beberapa bulan lepas.

Pakar Mikrobiologi Klinikal USIM, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed mencadangkan PKP lebih ketat seperti tahun lepas dengan menutup pelbagai premis termasuk pusat beli-belah dan hanya membenarkan ‘essential services’ untuk beroperasi.

Menurutnya, itu saja yang cara yang perlu dilakukan pada masa sekarang untuk mengurangkan kes positif COVID-19.



“Memang kita akan rasakan ia ganggu ekonomi tapi saya rasa kalau tidak buat demikian, ia akan berlarutan dan ekonomi tidak akan pulih seperti dulu kalau berterusan begini.

“Apa salahnya jika kita cuma memberi peluang – dua hingga tiga minggu ini untuk betul-betul PKP dan selepas itu menjalani kehidupan yang lebih baik daripada sekarang,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.

Beliau juga meluahkan kekecewaan dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak faham tindakan kerajaan melarang ziarah Aidilfitri malah ada pula yang memanipulasi keadaan dengan berziarah di pusat beli-belah pula.



“Rakyat kena faham bahawa kes sekarang sangat membimbangkan. Kita lihat dalam saringan dilakukan, sekurang-kurangnya 20 ke 30 peratus merekodkan keputusan positif.

“Maknanya, kalau hantar 10 ujian saringan, tiga daripadanya adalah positif. Ini tidak masuk lagi dengan mereka yang tidak melakukan saringan, dan mereka yang tidak bergejala.

“Saya pasti masih ramai di luar sana tidak bergejala dan kesnya tidak dapat dikesan,” ujarnya.



Dalam pada itu, mengulas pertambahan 1,000 buah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah PKRC MAEPS 2.0, Nurul Azmawati berasakan jumlah tersebut perlu ditambah lagi pada masa depan.

“Jika ada kapasiti, ada tempat dan kemudahan lain serta kakitangan, kita perlu perbanyakkan lagi katil.

“Kita tahu kes sangat banyak sekarang, kita perlu bersedia untuk tambah lagi bilangan katil,” katanya. Awani



KKM pertimbang PKP penuh, SOP lebih ketat di Selangor


Sebaran :


Leave a Reply