Saman cukai ‘langkah politik’, kata Shafee



Sebaran :


Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan saman cukai RM9.41 juta terhadapnya sebagai ‘langkah politik’.

Peguam bekas perdana menteri Najib Razak itu hari ini berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih belum menyerahkan kertas tuntutan saman kepadanya sehingga hari ini.

“Kami tidak menerima apa-apa. Bagaimana LHDN mengeluarkan saman ini. Sangat tidak beretika. Ia belum diserahkan kepada saya dan kemudian (berita mengenai saman cukai) sudah ada di media.



“Saya menganggap ini (saman tuntutan cukai) sebagai langkah politik,” kata Shafee kepada media di Istana Kehakiman, Putrajaya, hari ini.

Dia ditemui media setelah mewakili Najib dalam rayuan rasuah SRC International bernilai RM42 juta di hadapan Mahkamah Rayuan.

Shafee merujuk kepada tuntutan saman cukai LHDN terhadapnya untuk mendapatkan kembali sejumlah RM9.41 juta tunggakan cukai yang didakwa bagi tahun taksiran 2011 hingga 2014 dan 2016.



Menurut kertas kausa yang diajukan oleh LHDN pada 6 Mei, kerajaan yang bertindak sebagai penggugat menuntut tunggakan cukai didakwa berjumlah RM9,414,708.32, yang dikira dari tahun-tahun taksiran dan juga dikenakan denda dari tuduhan tidak membayar tunggakan.

Kerajaan juga menuntut faedah dari RM9.41 juta yang dikira pada kadar lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh realisasi penuh; kos; dan apa-apa kelegaan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Menurut kertas kausa dalam talian di ecourtservices.kehakiman.gov.my, saman cukai itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Jun.



Shafee, yang mewakili Najib dalam beberapa kes jenayah berkaitan 1MDB yang sedang berlangsung, juga berdepan kes pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima oleh peguam itu dari Najib.

Pada bulan September 2018 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Shafee didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan membuat pernyataan palsu yang dikaitkan dengan RM9.5 juta yang didakwa diterimanya.

Kes jenayah itu telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Mk



Kaitan keluarga Zeti dengan 1MDB tumpuan dalam rayuan Najib


Sebaran :


Leave a Reply