6 jam untuk dapat katil, suhu terlampau sejuk, makanan tak cukup, tandas ‘jijik’, antara keluhan penghuni MAEPS


Kalangan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) terpaksa menunggu lebih enam jam bagi mendapatkan katil, bertarung dengan kesejukan, serta beratur panjang untuk menerima rawatan dan makanan.

Pengalaman ‘mencabar’ mereka dalam menjalani kuarantin selama 10 hingga 14 hari di MAEPS memaparkan sistem kesihatan yang semakin tertekan akibat peningkatan kes mendadak.

Warga emas yang memperkenalkan diri sebagai Hasnah Diran, memberitahu FMT, beliau tiba di pusat kuarantin berkenaan ketika azan Maghrib berkumandang namun sehingga 1 pagi belum memperolehi katil.

“Makcik tunggu dari 7 petang, (sampai) pukul 1 pagi pun masih lagi beratur panjang untuk dapatkan rawatan dan pemeriksaan ‘X-ray’,” kata wanita berusia 64 tahun dari Kuala Selangor itu.


Suasana ketika menunggu katil.

Pesakit Covid-19 tahap IV, Norazura, berkata, beliau hampir pengsan di ruang menunggu ekoran dari pagi berada di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kajang sebelum dihantar ke MAEPS sekitar 6 petang.

Wanita dari Ampang ini beritahu FMT beliau sesak nafas dan batuk berterusan ke Hospital Ampang pada hari sebelumnya, namun pihak hospital itu tetap mahu beliau menjalani ujian saringan di CAC Kajang.

Katanya, keadaan di CAC Kajang yang sesak memberi tekanan kepadanya yang perlu beratur selama lima jam sebelum penilaian dijalankan ke atasnya.

“Suasana ketika itu memang tidak selamat. Ramai yang mula naik angin malah mereka yang mengendong anak kecil juga terpaksa beratur panjang,” kata Norazura, 36, yang tamat tempoh kuarantin pada 14 Mei.


Pegawai perubatan menggunakan interkom untuk berhubung dengan pesakit.

Beliau berkata, sistem penghawa dingin di MAEPS “begitu sejuk” dan tidak sesuai untuk pesakit Covid-19 sepertinya yang mempunyai masalah pernafasan.

Norazura, yang mempunyai tiga anak, bermalam di MAEPS dua hari sebelum kesesakan pernafasannya bertambah buruk dan denyutan jantung lemah – memaksa beliau dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau bersyukur kecekapan rawatan doktor dan pembantu di hospital itu membolehkannya beransur pulih.

Sementara itu, pesakit Covid-19 tahap 2, Husna Hussin Ali, 34, berkata kesesakan di MAEPS bukan cerita dongeng atau rekaan semata-mata.

Beliau menghabiskan 18 hari di pusat kuarantin itu bersama anak sulung berusia tujuh tahun. Husna berkata, pesakit perlu menunggu lama untuk giliran mereka mendapatkan kemudahan asas seperti selimut dan cadar.


Persekitaran yang kotor di perkarangan pusat kuarantin MAEPS.

“Ada ketika, kami perlu menunggu sehingga keesokan hari untuk dapatkan selimut. Keadaan dalam pusat kuarantin yang begitu sejuk sangat tidak selesa lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak kecil,” katanya.

Beliau juga amat kecewa dengan tahap kebersihan tandas di pusat kuarantin berkenaan yang disifatkannya begitu jijik dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesakit.

“Mereka yang negatif dan positif (Covid-19) terpaksa berkongsi tandas dan ini menyebabkan segelintir individu yang negatif pada awalnya kerana menjaga anak masing-masing yang positif terpaksa menerima takdir disahkan positif selepas beberapa hari berada di sana,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau yang juga seorang guru berkata, masalah bekalan makanan tidak cukup juga menjadi masalah besar, menyebabkan ramai terpaksa tidur dengan perut kosong ekoran kehabisan makanan.

Pesakit Covid-19 juga terpaksa beratur panjang untuk mengambil makanan yang diagihkan tiga kali sehari.

“Ruang legar juga tidak disediakan cecair pembasmi kuman, malah ruang kegunaan bersama, antaranya kemudahan komputer, ruang menonton televisyen dan taman mini kanak-kanak serta gimnasium tidak diselenggara dengan baik.

“Suasana di sana tidak selamat dan tiada penjarakan fizikal sama sekali. Apatah lagi, aspek pematuhan SOP yang lain,” katanya.

Jabatan Kesihatan Selangor semalam akur, situasi di PKRC MAEPS “semakin mencabar” susulan peningkatan pesakit Covid-19 kategori III.

Pesakit kategori III adalah mereka yang bergejala radang paru-paru.

Pusat itu hanya mempunyai 60 katil untuk pesakit kategori III pada awal Januari, tetapi ia kini meningkat kepada 757 pesakit, peningkatan lebih 1,000% hanya dalam tempoh lima bulan.

Menurut JKNS, pihaknya bercadang menambah kapasiti kepada 1,000 katil bagi menyokong sistem kesihatan di Lembah Klang selaras dengan peningkatan pesakit Covid-19.

Rata-rata mereka yang ditemui menghargai usaha gigih kakitangan MAEPS melaksanakan tugas. Namun, mereka tidak dapat memendam rasa kecewa terhadap tahap kemudahan di pusat itu dan kesesakan yang melampau.

FMT sudah menghubungi PKRC MAEPS untuk penjelasan lanjut. FMT

Situasi di PKRC MAEPS ‘mencabar’, pesakit tambah 1,000%

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker