Covid-19: Anak yatim terbiar lepas Tok Ayah pergi

Sebaran :


Lebih 30 penghuni rumah anak yatim di Kajang terperangkap dalam kepayahan akibat Covid-19.

Ini selepas salah seorang pemilik rumah anak yatim itu, yang dikenali sebagai Tok Ayah, telah meninggal dunia akibat virus itu minggu lalu, sementara isterinya, dikenali sebagai Ummi, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Menurut jiran rumah anak yatim itu, Azaad Mohammed Umar, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Ummi menempatkan 35 kanak-kanak lelaki dan perempuan, dengan 26 di antaranya diuji positif.

Azaad berkongsi perkara itu di media sosial sebagai usaha untuk mengumpulkan dana membantu penghuni rumah anak yatim berkenaan.

Setakat semalam, Azaad mengatakan jumlah kutipan mereka telah melebihi sasaran awal RM15,000, tetapi kutipan dana diteruskan bagi membantu pembelian ubat-ubatan untuk anak-anak yatim berkenaan.

Dalam perkembangan terbaru, Malaysiakini dimaklumkan bahawa dana yang diperlukan sudah mencukupi dan kutipan dana dihentikan.

Sasaran awal dana itu adalah bagi membayar perkhidmatan katering tiga kali sehari, untuk 30 orang sekurang-kurangnya bagi tempoh 20 hari, dengan makanan yang dibungkus dan dihantar terus ke rumah anak yatim berkenaan.

Katanya, sumbangan berupa air botol dan makanan ringan juga dialu-alukan.

Dengan ketiadaan kedua-dua penjaga rumah anak yatim itu, Azaad mengatakan bahawa anak-anak yatim itu terbiar tanpa pengawasan, dan tiada sesiapa untuk memasak makanan mereka.

Kanak-kanak lelaki tertua di rumah anak yatim itu berusia 16 tahun manakala kanak-kanak perempuan berusia 19 tahun.

Azaad berkata, anak-anak pasangan itu yang membantu menguruskan rumah anak yatim berkenaan juga tidak dapat memasuki premis, kerana mereka juga kini dikuarantin di rumah atau telah positif Covid-19.

“Menantu Ummi datang dari semasa ke semasa untuk memeriksa anak-anak itu, tetapi hanya dari luar kerana tidak ada yang dibenarkan di premis,” katanya di Facebook.

Salah seorang anak perempuan pasangan itu telah ditugaskan untuk mengumpulkan dana.

Ciapan Azaad di Twitter untuk meminta bantuan segera mendapat respons termasuk dari Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming yang memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya akan memeriksa perkara itu. Mk

Pilih Islam selepas kematian ibu bapa


Sebaran :

Leave a Reply