Gantung Parlimen, PAC lumpuh

KUALA LUMPUR: Fungsi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) ‘lumpuh’ selepas tidak dapat menjalankan tanggungjawab semak dan imbang dalam meneliti perbelanjaan kerajaan.

Sehingga ini, lima laporan maklum balas kementerian gagal dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, buat masa ini dua laporan maklum balas mesti dibentangkan iaitu perolehan dan penggunaan vaksin serta dana RM5 bilion daripada RM19.5 bilion diambil daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk mempercepat pemerolehan vaksin.

“Apa yang PAC boleh lakukan sekarang hanya mengeluarkan kenyataan biasa dengan bertanya kepada kerajaan tentang prosedur, tahap ketelusan dalam semua perbelanjaan masa kini.

“Ini amat menyedihkan dan tidak sihat bagi sistem demokrasi negara walhal sebelum ini Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengeluarkan kenyataan meskipun Parlimen digantung tetapi PAC masih boleh menjalankan fungsi sebagai semak dan imbang.

“Tetapi, apabila nak jalankan prosiding sekali lagi, PAC mendapat makluman daripada Setiausaha Dewan yang mana Jabatan Peguam Negara memberikan pandangan di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu 2021, semua persidangan jawatan kuasa digantung,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu temu bual melalui aplikasi Zoom semalam.

Fungsi PAC

Mengulas lanjut, ahli Parlimen Ipoh Timur (DAP) itu berkata, PAC tidak dapat memanggil saksi untuk hadir memberi keterangan malah tidak dapat menentukan perkembangan isu perolehan dan penggunaan vaksin Covid-19 yang melibatkan penggunaan dana KWAN.

“Saya merayu Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan PAC bersidang dengan segera bagi membolehkan jawatan kuasa ini menjalankan fungsi untuk memantau pentadbiran dan kewangan kerajaan terutama khususnya sepanjang tempoh darurat,” katanya.

Semakan Utusan Malaysia terhadap senarai laporan belum dibentangkan maklum balas yang diberikan PAC, laporan tersebut merangkumi pembentangan Laporan Sekolah Sukan Malaysia Perlis (Kementerian Pendidikan), Laporan Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) (Kementerian Pengangkutan) dan Laporan Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (Kementerian Wilayah Persekutuan).

Antara lain, laporan Aktiviti Kawalan Pekerja Asing di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Laporan PAC Parlimen Ke-14 berhubung Pengurusan Educational Malaysia Global Services (EMGS) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak dapat dibentangkan maklum balas berikutan penggantungan Parlimen selaras di bawah ordinan darurat.

Kelima-lima laporan itu telah dibentangkan pada November dan Disember tahun kemudian laporan interim dihantar secara bertulis dan diterima pada 25 Disember 2020 dan 11 Januari 2021 manakala tarikh pembentangan laporan maklum balas tergantung.

Selain itu, kata Kah Woh, sebanyak 15 mesyuarat PAC bagi tahun 2021 melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kewangan dan beberapa agensi kerajaan tertangguh kecuali Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang statusnya masih berjalan.

Prosiding terakhir PAC adalah pada 5 Januari 2021 berhubung perolehan vaksin Covid-19 manakala prosiding lain terpaksa ditangguh.

Terdahulu, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana RM5 bilion daripada dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – UTUSAN

 


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

“Orang kata saya kaya” – Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker