Polis tumpas ‘sindiket datin’, usahawan kosmetik dalang edar dadah diberkas
KOTA BHARU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi seorang usahawan wanita bergelar Datin dengan berselindung di sebalik penjualan kosmetik dan merampas dadah bernilai RM2.34 juta.
Ia membabitkan 180,000 biji pil yaba dan 14.9kg dadah jenis syabu menerusi serbuan membabitkan lima lokasi di tiga daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah dan Pasir Mas sejak kelmarin hingga semalam.
Dalam serbuan itu, polis menahan 11 individu berusia 23 hingga 48 tahun masing-masing tujuh lelaki dan empat wanita warga Thailand termasuk usahawan kosmetik bergelar Datin itu.
Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata sindiket dadah dikenali sebagai “sindiket datin” itu berjaya ditumpaskan susulan risikan dan intipan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, pada 4.30 petang kelmarin, pihaknya menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Kota Bharu dan merampas dua botol plastik mengandungi cecair kehitaman disyaki kodein dan 180,000 biji pil kuda.
“Susulan tangkapan itu, polis menahan dua lagi lelaki jam 4 petang semalam dalam sebuah kereta di Kampung Kedai Mulong dan merampas 17 bungkusan mengandungi syabu seberat 14.9kg.
“Seterusnya, pada hari sama, polis menahan lapan individu iaitu empat lelaki tempatan dan empat wanita warga Thailand termasuk seorang Datin di tiga daerah,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Shafien berkata, siasatan mendapati, sindiket berkenaan didalangi seorang wanita warga Thailand bergelar Datin berusia 48 tahun.
“Kejayaan tangkapan ini susulan tangkapan terdahulu dan kita percaya sindiket ini bergerak aktif sejak beberapa bulan lalu. Bekalan dadah terbabit diperoleh dari Thailand untuk pasaran Pantai Timur termasuk Terengganu dan Pahang.
“Selain rampasan dadah, polis turut menyita enam kereta, dua motosikal, barang kemas serta wang tunai bernilai lebih RM300,000,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek ditahan reman seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Shafien berkata, polis Kelantan turut menumpaskan satu sindiket dikenali sebagai “Sindiket Mat Yo” membabitkan rampasan dadah jenis pil yaba sebanyak 462,000 biji bernilai RM4.62 juta.
Serbuan pada Rabu dan Khamis lalu itu membabitkan penahanan dua lelaki berusia 32 dan 43 tahun di Kota Bharu dan Tanah Merah. FMT