Lelaki naik motosikal pakai gelang pink ditahan


KULIM – Tindakan seorang lelaki keluar rumah dalam tempoh dirinya sedang menjalani proses kuarantin membawa padah selepas dia ditahan polis hari ini.

Tangkapan ke atas lelaki berusia 27 tahun itu dibuat selepas satu klip video menunjukkan beliau menunggang motosikal dalam keadaan tangan kirinya masih memakai gelang kuarantin berwarna merah jambu tular di laman Facebook semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video lelaki yang berasal dari Padang Serai itu pada 9.49 malam tadi.

“Susulan itu, kita melakukan semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangi lelaki itu sebelum mendapati ia didaftarkan atas nama abangnya yang beralamat di Padang Serai.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Padang Serai diarahkan ke alamat rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati lelaki itu dikenakan perintah kuarantin bermula 1 Mei hingga esok (Isnin),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Azhar, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung prosedur operasi standard (SOP) tangkapan.

“Kita akan membuat permohonan pengesahan kuarantin terhadap lelaki berkenaan dan ia akan dirujuk di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim.

“Selain itu, siasatan lanjut juga akan dibuat untuk mengenal pasti tujuannya keluar rumah serta lokasi yang telah dikunjungi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana individu yang diarahkan dikuarantin mematuhi arahan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan tegas diambil sekiranya ingkar arahan berkenaan. MG

Kompaun RM5,000 membeli belah di pasar raya pakai gelang ‘pink’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker