Warga emas, teman wanita disamun di bilik hotel


KUALA LUMPUR – Seorang warga emas dan teman wanitanya menjadi mangsa samun semasa menginap di sebuah hotel di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, polis menerima aduan daripada mangsa berusia 65 tahun pada jam 5.29 petang semalam berhubung kes tersebut.

Katanya, kejadian menimpa mangsa dan teman wanitanya pada hari yang sama sekitar jam 3.00 petang semasa pengadu bersama teman wanitanya berumur 54 tahun berada di dalam sebuah bilik hotel Taman Seputeh, di sini.

“Suspek tidak dikenali dipercayai empat lelaki tempatan telah didapati datang ke bilik pengadu dan teman wanitanya sebelum menyamun mereka dan kesemua suspek melarikan barang-barang berharga milik pasangan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Anuar, pasangan itu mengalami kerugian dianggarkan dalam lebih kurang RM 10,000 berupa wang tunai, sebuah telefon bimbit jenama Huawei milik pengadu, sebuah telefon bimbit jenama Asus milik teman wanita, sebentuk cincin emas milik pengadu, lima kad ATM pelbagai bank milik teman wanita pengadu dan satu kad pengenalan milik teman wanita pengadu.

Menurutnya, pengadu dan teman wanitanya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian samun itu.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/377C Kanun Keseksaan.

“Pada hari yang sama jam lebih kurang 23.30 malam, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields telah berjaya menangkap satu suspek lelaki tempatan berumur 35 tahun dengan pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Semasa tangkapan dijalankan, pihak polis telah merampas barang-barang disyaki milik mangsa samun iaitu sebuah telefon bimbit jenis Huawei warna biru dan sebuah telefon bimbit jenama ASUS Zenfone warna kelabu,” ujarnya.

Katanya, pada jam 2.15 pagi tadi pasukan sama menahan dua lagi suspek lelaki berumur antara 29 hingga 31 tahun yang mana salah seorang suspek yang ditangkap mempunyai dua rekod kesalahan jenayah lampau.

Ketika tangkapan kedua dilakukan, katanya, polis merampas barang-barang sebuah telefon bimbit jenama Oppo warna biru, sebatang anak kunci tertera lambang Proton beserta alat kawalan jauh, sebuah kereta Proton Persona; sebuah telefon bimbit jenama Oppo A15, sebuah telefon bimbit Huawei dan sebentuk cincin emas.

Menurut beliau, ketiga-tiga suspek mengaku terlibat dengan kes yang disiasat dan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Ketiga-tiga suspek telah direman lima hari untuk membantu siasatan dan polis menagih orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan seorang lagi suspek yang masih bebas dinasihatkan membantu pihak polis bagi melengkapkan siasatan dengan menyalurkan maklumat,” ujarnya.

Orang ramai yang maklumat boleh menyalurkannya kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. MG

Warga emas nekad terjun kereta selepas disamun

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker