Pemilik tahfiz, suami Pakistan didakwa cederakan pelajar


AMPANG – Seorang pengajar warga Pakistan dan isteri warga tempatan didakwa di Mahkamah Majistret 1 di sini atas kesalahan mendera seorang kanak-kanak di pusat tahfiz yang diuruskan mereka di Taman Tun Abdul Razak sejak awal Mac lalu.

Tertuduh pertama kes berkenaan, Muhammad Yaqoob, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang telah dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Ibrahim pagi ini.

Tertuduh bersama isterinya berusia 52 tahun merupakan pemilik pusat tahfiz itu dibawa dengan dikawal ketat oleh pasukan polis ke mahkamah pukul 9.45 pagi.

Mengikut fakta pertuduhan kes, tertuduh antara 9 Mac hingga 23 April lalu dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan rotan yang menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun enam bulan.



Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Tahfiz yang beralamat di No.25 Jalan 5, Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sebat atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Suriantiazila Mohamad mengendalikan pendakwaan itu manakala tertuduh diwakili peguambela, Dony Abdullah dari tetuan firma Guaman Dony&Co.

Suriantiazila mencadangkan mahkamah tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh lelaki kerana beliau seorang warga asing yang menghadapi pertuduhan serius di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.



Manakala Dony pula merayu mahkamah supaya tertuduh dibenarkan jaminan dengan jumlah yang munasabah memandangkan menghadapi pertuduhan di bawah akta yang memperuntukkan hukuman ringan.

“Yang Arif, tertuduh seorang warga Pakistan telah direman 12 hari untuk melengkapkan siasatan polis di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak pada asalnya yang memperuntukkan hukuman agak berat.

“Dia telah berkahwin dengan seorang warga tempatan yang menguruskan tahfiz berkenaan malah tertuduh tidak mempunyai apa-apa pertuduhan Imigresen memandangkan dia memiliki dokumen perjalanan sah di sisi undang-undang.

“Undang-Undang negara kita tidak membezakan kewarganegaraan seseorang itu dan begitu juga dengan hak jaminannya maka dengan itu merayu satu wang jaminan munasabah dibenarkan ke atas anak guam saya dengan syarat tambahan,” katanya.



Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, Normaizan membenarkan tertuduh dijamin dengan wang jaminan RM5,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berjalan.

Dalam pada itu, isterinya yang juga pemilik tahfiz berkenaan Norizan Yahaya didakwa secara berasingan di Majistret 1 di hadapan Majistret Fara Nasiha Anwar atas kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, wanita yang berjubah hitam menutup penuh muka dengan keadaan tangan bergari mengaku tidak bersalah atas pertuduhannya dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap kanak-kanak yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama di Taman Tun Abdul Razak di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya.



Majistret selepas mengambil kira rayuan peguambelanya Dony Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang RM2,000 dengan seorang penjamin serta dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu mangsa sepanjang kes itu selesai.

Kedua-dua tertuduh suami isteri itu kemudian ditetapkan tarikh serah dokumen dan sebutan kes pada 18 Jun ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed farouk Esha berkata, suspek pertama lelaki warga pakistan yang merupakan tenaga pengajar menghadapi pertuduhan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Manakala pertuduhan kedua dikenakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.



“Seterusnya suspek kedua iaitu isterinya berusia 32 tahun dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Pada 26 April lalu Mohamed Farouk mengesahkan penahanan kedua-dua suspek suami isteri itu kerana disyaki mendera kanak-kanak sebuah pusat Tahfiz di Taman TAR.

Pasangan itu yang merupakan pemilik tahfiz ditahan sepasukan anggota Polis Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Selangor.

Ketika serbuan di premis berkenaan polis turut menyelamatkan lapan lagi pelajar lelaki berusia antara tujuh hingga 15 tahun yangb didakwa turut menjadi mangsa dera pasangan itu,



Siasatan mendapati seorang kanak-kanak berusia tahun iaitu anak kepada pengadu mengalami kecederaan baharu dan lama pada keseluruhan badannya selepas pemeriksaan di hospital.

Manakala tiada sebarang kecederaan fizikal dikesan ke atas lapan pelajar yang diselamatkan polis. MG

Kerana cemburu, pelajar dipercayai bunuh diri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker