Banyak hutang, alami kerugian tapi PR1MA ‘bermewah’ dengan majlis berbuka


Acara berbuka puasa pada bulan Ramadan yang dianjurkan kementerian dan agensi kerajaan lazim diadakan di Malaysia, dengan VIP tertentu boleh meraih publisiti.

Tahun ini,satu lagi agensi kerajaan – PR1MA Corporation Malaysia, sebuah badan berkanun yang diberi mandat untuk membina “rumah mampu milik” untuk golongan berpendapatan sederhana – menjadi tumpuan atas penganjuran acara seumpamanya.

Pengkritik mengatakan bahawa PR1MA telah disalahgunakan untuk modal politik di acara-acara berkenaan ketika syarikat itu sendiri sedang mengalami kerugian besar dan lambat menyiapkan rumah.

Berdasarkan laporan tahunan terkini agensi itu, ia mempunyai hutang berjumlah RM4,403,906,096 dan mengalami kerugian sebanyak RM69,520,200 pada 31 Disember 2018.

Jumlah sebenar pembeli rumah yang terjejas susulan kelewatan tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, antara yang terjejas adalah pembeli Residensi Tebrau di Johor dan Residensi Port Dickson di Negeri Sembilan.

Pembeli telah mengadu bahawa mereka berdepan kelewatan walaupun terpaksa membuat pembayaran pinjaman untuk rumah mereka.

‘Angpau’ buat media

Pada 18 April, PR1MA mengadakan majlis berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, yang melibatkan 300 tetamu, termasuk kira-kira 100 kakitangan media.

PWTC adalah salah satu pusat konvensyen terkenal di Kuala Lumpur, yang terletak di tengah-tengah kotaraya.

Beberapa kakitangan media yang menghadiri acara tersebut memberitahu Malaysiakini bahawa mereka menerima mangkuk tingkat sebagai cenderamata dan sampul surat putih yang berisi wang tunai RM250.

“Bos saya menyuruh saya untuk membuat liputan acara kerana saya paling hampir, lepas selesaikan tugasan sebelum itu,” kata seorang wartawan.

“Ketika saya berada di sana, kami masing-masing diberi mangkuk tingkat sebagai cenderamata. Dan kemudian, kami masing-masing mendapat ‘angpau’.

“Semasa saya membuka sampul surat, saya agak terkejut kerana saya tidak menyangka akan mendapat sejumlah wang yang begitu banyak,” katanya.

Awal hari itu, sebuah pesan teks telah beredar di kalangan pegawai media yang mendakwa bahawa “duit raya” akan diberikan semasa acara tersebut.

CSR diluluskan Anggota Perbadanan PR1MA

Saksi memberitahu Malaysiakini bahawa dua lelaki terlibat dalam pengedaran sampul surat putih. Seorang didakwa membawa beg tote dengan logo PR1MA yang berisi sampul surat.

“Ada satu beg ini yang berisi sampul surat. Dua lelaki memakai kopiah membawanya untuk membagikannya, dari meja ke meja,” kata seorang saksi.

PR1MA tidak menjawab permintaan untuk memberi komen mengenai kedua-dua lelaki tersebut. Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada hanya kakitangan media yang menerima sampul itu atau tidak.

Dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini, PR1MA menjelaskan bahawa acara itu adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dikenali sebagai PR1MAKita.

PR1MA mengatakan mereka telah mengundang anak yatim, pelajar sekolah tahfiz dan pihak media sempena bulan Ramadan.

“Antara sumbangan adalah dalam bentuk tunai, barangan, kemudahah fasiliti dan bantuan guna tenaga telah mendapat kelulusan yang sewajarnya daripada Anggota Perbadanan,” kata agensi itu.

PR1MA tidak menjawab pertanyaan mengenai jumlah yang dibelanjakan untuk acara tersebut.

Malaysiakini kemudiannya bertanya mengenai peranan eksekutif PR1MA pada majlis berbuka puasa lain seumpamanya di Shah Alam pada 17 April yang dianjurkan Yayasan Pok Dan Kassim. Soalan itu juga tidak mendapat respons.

Suatu pembaziran, kata senator

Program amal PR1MA baru-baru ini semasa acara berbuka puasa telah menarik kritikan dari Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, yang menuntut untuk mengetahui berapa banyak perbelanjaan yang dikeluarkan agensi itu untuk acara berasingan pada 15 April, juga di PWTC, serta peranan eksekutif PR1MA pada acara 17 April di Shah Alam.

Akmal menyatakan bahawa banyak tokoh Umno hadir dalam kedua-dua acara tersebut.

“Jangan melakukan sesuatu yang akan menyebabkan (PR1MA) pembeli rumah merasa seperti mereka menjadi mangsa.

“Mereka (pembeli rumah) harus membayar bank setiap bulan untuk rumah-rumah yang masih belum selesai, tetapi anda boleh mengadakan acara besar seperti ini,” kata Akmal dalam satu kenyataan pada 21 April.

Senator Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dalam kenyataan di Facebook mendakwa PR1MA “bermewah” dengan majlis berbuka puasa sehingga mengorbankan tugas sebenar.

Raja Kamarul menyorot bahawa banyak tokoh kerajaan hadir dalam acara 15 April itu.

“Dalam masa menghadapi bebanan hutang tinggi dan bermasalah, PR1MA mengadakan jamuan jamuan mewah berbuka puasa menjemput tokoh tokoh politik kerajaan menjamu selera.

“Ini berlaku dalam masa pembeli rumah PR1MA terpaksa menderita terpaksa membayar pinjaman rumah PR1MA yang gagal dan juga terpaksa membayar sewa rumah sedia ada,” katanya.

Akta Perumahan Rakyat 1Malaysia diluluskan pada tahun 2012 dengan tujuan untuk membina 500,000 rumah mampu milik pada tahun 2018. Sehingga 31 Mac tahun ini, hanya 20,587 unit yang telah siap.

24,756 unit lagi sedang dalam pembinaan, dan 7,420 unit lain sedang dirancang. Agensi ini mempunyai 62 projek di seluruh negara.

Pada bulan Disember tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberitahu Parlimen bahawa terdapat 32 projek yang dibatalkan, dan kerajaan setakat ini telah membelanjakan RM172 juta untuk pampasan 17 daripadanya.

PR1MA tidak menjawab permintaan untuk senarai penuh 32 projek yang dibatalkan. Mk

Shamsiah, isteri Shahidan dakwa tak pernah beri kenyataan kepada portal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker