Bunuh Ibu Sendiri: ‘Kami Tak Mahu Tengok Muka Abang’



Sebaran :

MARAN – Tiada apa yang diharapkan seorang anak melainkan melihat suspek yang menjadi punca kematian ibu mereka dikenakan hukuman setimpal sekali pun individu itu adalah abang kandung sendiri.

Khairul Anwar Ahmadiah, 37, berkata, meskipun mempunyai pertalian darah dengan suspek, namun perbuatan abangnya itu sesuatu yang sukar diterima oleh akal.

Khairul merupakan salah seorang anak kepada Mariani Ismail, 55, yang maut selepas dicekik dan ditetak anak sulungnya sendiri dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Pesagi, Chenor di sini awal pagi Khamis lalu.



“Perbuatan abang terhadap ibu begitu kejam dan sememang­nya sukar untuk dimaafkan sepanjang hidup kami.

“Tindakannya sangat zalim dan sampai sekarang kami tidak tahu mengapa dia sanggup berbuat demikian. Kami sedih melihat pengakhiran emak macam ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Mujibur (tiga dari kanan) meluangkan masa melawat anak-anak mangsa di Kampung Pesagi di Chenor, Maran semalam.

Menurut Khairul, ahli keluarga yang lain juga mahu hukuman setimpal dikenakan kepada abang mereka di atas perbuatan kejam itu.



“Biarlah abang dikenakan hukuman setimpal dan kalau bebas sekali pun, kami tidak mahu dia balik ke sini lagi. Kami juga tidak mahu lagi tengok muka dia,” jelasnya.

Terdahulu, keluarga berkenaan menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seorang anak berusia 39 tahun bertindak di luar batasan apabila mencekik sebelum menetak anggota tubuh ibunya bertubi-tubi ketika mangsa sedang tidur.



Kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu menyebabkan Mariani meninggal dunia dengan kece­deraan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanan.

Berdasarkan siasatan polis, suspek yang baru sebulan keluar dari penjara atas kesalahan dadah telah menggunakan sebilah parang untuk menetak mang­sa selepas berhalusinasi dan mendengar bisikan suara halus yang menyuruhnya berbuat demikian.

Selain itu, sumber keluarga tu­rut mendedahkan bahawa ma­ngsa sebelum ini pernah me­na­sihati suspek agar tidak lagi membeli dadah, lebih-lebih lagi selepas permohonan lelaki itu untuk mengeluarkan duit i-Sinar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diluluskan.



Sementara itu, Khairul Anwar berkata, kejadian yang menimpa ibu mereka amat mengejutkan adik-beradik yang lain memandangkan sebelum kejadian, suspek tidak pernah menunjukkan tingkah laku yang luar biasa dan tidak pernah memukul ibunya.

“Saya tidak menyangka keja­dian ini boleh berlaku, emak sering menasihatkan kami adik-beradik supaya berlaku baik dan tidak meninggalkan solat. Kami juga diberikan didikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Mujibur Rahman berkata, kejadian itu amat mengejutkan dan perlu dijadikan iktibar agar tidak berulang lagi termasuk melalui usaha membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.



“Saya berharap usaha berte­rusan dapat dilakukan pihak berkuasa dalam mengekang dan membanteras serta mendidik masyarakat di kampung mengenai bahaya penyalahgunaan dadah,” ujarnya.-KO


Sebaran :


Leave a Reply