Drama Nur Diplagiat?- Dakwa Netizen



Sebaran :

Di sebalik kisah drama rantaian, Nur dihentikan siaran selama hampir tiga minggu, namun kembali disiarkan pada Sabtu lalu menerusi stesen televisyen (TV) Indonesia, MNCTV, kini, timbul pula kisah lain.

Ramai netizen di Indonesia mendakwa, sinetron Bismillah Cinta yang kini sedang disiarkan di Indosiar dipercayai memplagiat karya milik syarikat produksi, Radius One itu.

Penerbit dan pengarah drama bersiri Nur, Shahrulezad Mohameddin berkata, seandainya benar seperti didakwa termasuk wujud unsur ‘plagiat’, namun, biarlah ia berlaku secara baik.



“Saya menerima mesej langsung peminat drama Nur yang memaklumkan perkara ini. Malah, saya sendiri ada menontonnya di YouTube. Tidak dinafikan ada persamaan terutama dari segi watak dan sesetengah babak.

“Jika sekalipun benar dakwaan ini, biarlah ia berlaku mengikut undang undang, pelesenan dan hak cipta. Malah, sepatutnya ia di bawah pengetahuan TV3. Jika benar, penghargaan patut diberikan kepada TV3 dan saya sebagai pencipta idea asal,” katanya kepada BH Online.

Mengulas apakah sudah mendapat kepastian daripada TV3, Shahrulezad berkata, isu berkenaan sudah diajukan kepada stesen TV berkenaan.



“Ia masih dalam siasatan TV3. Kena tunggu sampai drama berkenaan habis disiarkan. Mungkin boleh tanya stesen MNCTV mengenai hal berbangkit,” katanya.

Kata Shahrulezad lagi, dia tidak berniat mencipta sensasi berhubung isu drama Nur diciplak.

“Saya tidak dapat untung apapun daripada isu ini. Jika betul dakwaan ini, saya percaya setiap manusia bangga untuk meneruskan misi dakwah.



“Drama Nur sendiri sarat dengan mesej dakwah. Jadi, usaha ini dapat terus dipanjangkan dalam apa juga platform yang berkaitan,” katanya.

 

Penerbit dan pengarah drama bersiri Nur, Shahrulezad Mohameddin menerima mesej langsung peminat di Indonesia mendakwa drama Nur diplagiat. - Foto Shahrulezad Mohameddin
Penerbit dan pengarah drama bersiri Nur, Shahrulezad Mohameddin menerima mesej langsung peminat di Indonesia mendakwa drama Nur diplagiat. – Foto Shahrulezad Mohameddin

 

Berbalik isu drama Nur ditarik siaran dan kemudian disiarkan semula, Shahrulezad berkata, dia tiada hak untuk memberikan jawapan.

“Cuma, saya keliru saat mengetahui drama Nur musim pertama hanya disiarkan episod pertama dengan alasan tiada ‘rating’. Namun, bukan kuasa saya menentukan apa-apa.



“Jadi, saya reda dengan apa sahaja keputusan yang dibuat. Saya tiada masalah sama ada stesen TV Indonesia mahu menyiarkan atau sebaliknya.

“Saya menghasilkan drama Nur dengan niatnya untuk penonton Malaysia dan Radius One. Tidak pernah berangan-angan pun untuk melihat drama Nur merentas negara luar. Saya bimbang dituduh syok sendiri pula.

“Namun, apabila dapat tahu drama Nur diterima di Indonesia dan kemudian, ada stesen TV berminat mahu menyiarkannya, ia satu bonus. Sekurang-kurangnya, ada pihak menghargai karya Malaysia,” katanya.



Bagi Shahrulezad, setiap manusia memiliki selera yang berbeza.

“Saya tidak boleh paksa penonton dari seberang menerima karya ini. Terima atau tidak, di luar kawalan saya. ‘Treatment’ drama kita berbeza dengan karya di sana.

“Bagi saya, satu kerugian stesen MNCTV membeli dua musim drama Nur, tetapi tak disiarkan. Namun, saya dapat maklum balas peminat drama Nur di Indonesia kecewa dengan isu berkenaan,” katanya.



Bagaimanapun, Shahrulezad berkata, dia tidak menduga mendapat berita gembira apabila drama Nur kembali disiarkan di saluran sama, Sabtu lalu. Selain MNCTV, ia turut disiarkan menerusi saluran Muslim TV.

“Saya bersyukur drama Nur kembali disiarkan. Apa juga alasan, hanya pihak stesen TV lebih mengetahuinya.

“Saya tiada jawapan kenapa drama ini ditarik dan disiarkan semula. Cuma, saya dengar ia disebabkan desakan peminat Nur di Indonesia,” katanya.



Terdahulu, drama Nur yang mencetuskan fenomena hingga meraih rating lebih 10 juta penonton ketika ditayangkan TV3, melebarkan sayap ke Indonesia menerusi stesen MNCTV.

Atas kolaborasi Sistem Televisyen Malaysia Berhad (STMB) dan MNCTV, musim pertama dan kedua Nur ditayangkan serentak dalam semua rangkaian platform MNC Media sejak hari pertama Ramadan.


Sebaran :


Leave a Reply