Ramainya tak puasa…

BILA dah tak puasa, macam-macam perangai yang keluar. Bila takut hendak beli makanan di luar, maka penghantar makanan jadi antara orang paling sibuk ke sana sini menghantar pesanan.
Aduh…ramai tak puasa rupanya!

Pemandu Grab wanita bernama Nuri bercerita kepada saya baru-baru ini, sambil bersulam ketawa mengenai ragam salah seorang pengguna Grab Food.

Kata Nuri, ketika berlegar-legar di kawasan Petaling Jaya pada waktu tengah hari, dia menerima pesanan Grab Food yang memerlukan dia mengambil makanan di sebuah kedai mamak.
Destinasi penghantaran tak jauh, sekitar kawasan yang sama juga.

“ Saya tengok alamat, ia sebuah rumah teres. Dalam perjalanan ke sana, saya terima.mesej panjang berjela.

“Kata pengirimnya, “kalau akak nampak ada kereta dengan plat dot dot dot, jangan berhenti depan rumah. Maknanya emak saya sudah balik.

“Akak berhenti jauh sikit. Nanti saya keluar’, kata mesej itu.

“Saya sebenarnya hendak tergelak. Nama pengirim Malik, nama Melayu yang saya percaya seorang Muslim.

Saya agak ini kes ponteng puasa tapi takut emak marah,” cerita Nuri.

Setibanya di hadapan rumah berkenaan, memang kereta yang disebut tadi ada di hadapan rumah.

Maka, Nuri pun memberhentikan kereta berselang dua buah rumah dan memaklumkan kepada pengirim yang dia sudah sampai.

Kata Nuri, tak sabar juga rasa di hatinya hendak tengok siapa gerangan yang memesan makanan mamak pada waktu tengah hari buta ini.

“Tak lama selepas itu, datang seorang remaja lelaki bersaiz montel tersenyum-senyum menuju ke kereta saya.

“Hendak tergelak saya tengok muka dia yang nampak letih benar. Saya usik dia, tak puasa ke dik. Takut emak eh?

“Dia jawab, ‘tak larat kak hari ni. Biasanya saya puasa. Kalau emak tahu ni, mati saya,” kata budak ni.
Nuri yang mendengarnya tergelak besar

Tahu pula takut dengan emak. Habis itu, makan kari mamak tu tak bau satu rumah ke?

Kata Nuri, mujur juga dia menghantar makanan kepada orang yang dia tidak kenali.

“Agaknya kalau terkena kawan-kawan atau kaum kerabat sendiri, mahu berdesing telinga mereka saya perli,” kata Nuri yang terus menutup aplikasi Grab Foodnya selepas itu.

“Tak mahu lagi saya ambil pesanan orang Muslim tak puasa. Sakit pula hati.

“Tak mahulah bersekongkol dengan orang tak puasa. Banyak lagi kerja lain kita hendak buat,” katanya tergelak. – Mingguan Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker