Saya tak akan keluar UMNO biarpun apa terjadi – Shahidan
KANGAR: Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa beliau tidak akan sesekali meninggalkan UMNO, meskipun tidak lagi menjawat jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.
Ahli Parlimen Arau itu berkata, beliau bukannya orang yang mengejar habuan politik sebaliknya lebih mengejar perjuangan dalam memantapkan lagi UMNO di Perlis sehingga berhasil memenangi beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Buat apa saya nak tinggalkan UMNO, saya menang pilihanraya dan menjadi calon kedua yang menang dengan majoriti tertinggi di Perlis. Malah, saya menang kerana orang UMNO sokong saya dan rakyat juga undi saya.
“Jadi sudah tentu saya tetap setia kepada UMNO. Apa yang saya bimbang sekarang ini adalah orang lain yang kecundang pendirian mereka kepada UMNO. Apa yang penting di sini adalah saya pernah menjadi ‘komander’ UMNO Perlis untuk banyak pilihanraya dan kita menang.
Katanya, pada masa sama beliau melihat kerjasama dengan penyandang baharu jawatan itu, Datuk Seri Azlan Man sebagai sesuatu yang positif dalam memantapkan UMNO Perlis.
Namun, di sebalik reaksi positifnya, beliau secara sinisnya berharap agar Azlan yang juga Menteri Besar Perlis supaya dapat hadir dalam Mesyuarat Perhubungan UMNO Perlis di mana sebelum ini Ketua UMNO Bahagian Kangar itu didakwa gagal menghadiri mensyuarat berkenaan.
“Kalau betul nak bekerjasama..itu sebagai satu yang positif. Cuma saya harap..dulu masa saya jadi pengerusi, mesyuarat selalu tak hadir jadi kali ini harap dapat hadir mesyuarat.
“Saya juga tak mahu komen pasal beberapa akar umbi UMNO menolak perlantikan Azlan, yang paling penting saya nak pastikan seluruh Bahagian Arau menang dengan gagah perkasa pada pilihan raya umum akan datang.
“Insya-Allah, tugas bahagian sekarang ini adalah untuk memilih calon yang akan bertanding dalam pilihan raya. Ini termaktub dalam perlembagaan UMNO baharu iaitu adalah menjadi tugas bahagian memberikan nama calon pilihan raya. Jadi, akan datang ini kita hendak menang lagi,” katanya.
Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, UMNO Padang Besar di bawah Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Arau di bawah Datuk Seri Shahidan berhasil menang di lapan kawasan di mana Padang Besar menjadi kawasan yang menang semua dengan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding UMNO Kangar di bawah Datuk Seri Azlan Man yang hanya menang dua kerusi DUN sahaja.
Namun, pada 24 April lalu, UMNO memutuskan untuk melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis yang baharu menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim-BH
Shamsiah, isteri Shahidan dakwa tak pernah beri kenyataan kepada portal
You must be logged in to post a comment.