Pelajar IPT boleh balik kampung beraya



Sebaran :

Kira-kira 103,994 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berada di kampus masing-masing boleh menarik nafas lega selepas dibenarkan pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali ne­geri Sarawak.

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan semalam.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, para pelajar boleh pulang ke rumah masing-masing mulai 7 hingga 12 Mei ini, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus pula pada 15 hingga 20 Mei depan.



Katanya, pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah selain menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

“Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

“Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
KPT memberitahu, pihaknya telah menetapkan beberapa meka­nisme kawalan yang mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal.



“Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menaiki kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT.

“Pergerakan melalui kende­raan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerba­ngan,” katanya.

Sementara itu, KPT berkata, para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal ber­ada di kampus sempena cuti pe­rayaan tersebut.



“Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan,” ujarnya.

Semua pihak mestilah mematuhi prosedur operasi stan­dard (SOP) yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada SOP Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.



Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/ 6949/ 6623/ 6628.-UO


Sebaran :


Leave a Reply