KJ sahkan pekerja hotel di Pahang, termasuk Genting, sudah divaksin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pekerja di 56 hotel di Pahang, termasuk di Genting Highlands, telah menerima suntikan vaksin dos pertama.
Khairy yang bertanggungjawab dalam program vaksin negara berkata keputusan untuk memvaksinasi pekerja industri pelancongan, lebih awal daripada kelompok berisiko lainnya, dibuat oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Pahang.
Justeru, dia menafikan dakwaan yang dibuat di media sosial yang mengatakan bahawa dia telah memberikan arahan untuk pekerja di hotel dan kasino Kumpulan Genting divaksin lebih awal berbanding warga emas dan guru yang masih menunggu vaksinasi di daerah Bentong.
“Pihak CITF Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF Negeri ini selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut.
“Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.-MK