Peniaga colek pula dikompaun RM50,000


KOTA BHARU: Belum pun reda kisah peniaga burger dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa malam kelmarin, seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah yang sama.

Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang Ramadan di hadapan rumahnya mengakui terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis jam 11.20 malam kelmarin.

Katanya, tanpa bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya, Nik Norwati Nik Loh, 38, anggota polis berkenaan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

“Saya terkejut dan terkedu melihat jumlah kompaun yang dikenakan, sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah kerana berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.

“Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.

“Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Azizi berkata, dia yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah selain perlu menanggung tiga anak saudara sudah tentu tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.

“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara.

“Ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mee celup pada hari biasa.

“Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam,” katanya.

Disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, beliau berkata, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.

“Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami. Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga colek di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.

Katanya, peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya. BH

Jual burger depan rumah kena kompaun RM50,000, peniaga rayu ringan hukuman

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker