Biden usul kenaikan cukai pelaburan golongan kaya


Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengusulkan kenaikan cukai atas keuntungan pelaburan individu kaya negara itu.

Kutipan itu akan diguna bagi membiayai rancangan barunya untuk membantu keluarga miskin di AS, kata seorang ahli ekonomi Rumah Putih.

Biden minggu ini dijangka membentangkan Rancangan Keluarga AS berjumlah AS$1.8 trilion (RM7.3 trilion), yang akan menyediakan skim penjagaan anak nasional, cuti keluarga berbayar dan kolej komuniti percuma.

Dana bagi tujuan itu akan dikumpul melalui cukai lebih tinggi ke atas golongan kaya bagi mengimbangi jurang perbezaan antara kaya dan miskin.

Ketua Majlis Ekonomi Nasional Rumah Putih, Brian Deese, berkata kenaikan levi atas keuntungan hasil jualan saham dan aset lain hanya merangkumi mereka yang meraih AS$1 juta (RM4.1 juta) setahun, membabitkan 500,000 pembayar cukai AS.

“Perubahan ini hanya membabitkan tiga per sepuluh daripada satu peratus pembayar cukai, yang bukan satu peratus atau setengah peratus teratas,” katanya kepada wartawan, yang memetik data percukaian bagi 2018.

“Perubahan ini akan bantu mengimbangi kos jangka panjang pelaburan berkenaan dengan membuat pembaharuan ke atas kod cukai, yang memberi ganjaran kepada pekerjaan dan bukan hanya kekayaan,” katanya.

Beliau tidak memperincikan cukai baharu yang lebih tinggi itu, namun laporan media minggu lalu yang memetik pegawai, berkata rancangan itu akan meningkatkan kadar cukai keuntungan modal kepada 39.6 peratus daripada 20 peratus.

Dengan tambahan cukai 3.8 peratus kepada pelabur kaya untuk membayar program insurans kesihatan Obamacare, kadar keuntungan modal boleh meningkat kepada 43.4 peratus, tertinggi sejak 1920-an, menurut Yayasan Cukai dan kumpulan penyelidikan bebas.

Bagaimanapun, Deese mempertahankan cadangan itu kerana percaya ia bukan saja adil tetapi dapat membantu mengurangkan jenis pengelakan cukai yang melemahkan kepercayaan dan keadilan dalam kod cukai itu sendiri.

“Selain itu, apa yang penting adalah pendapatan daripada peruntukan ini akan membantu pelaburan secara langsung kepada anak-anak dan keluarga kita.

“Ia juga meningkatkan daya saing ekonomi masa depan, selain menempatkan kita pada kedudukan di mana kita dapat mendorong pertumbuhan ekonomi yang lebih besar,” katanya.

Biden, yang akan berucap pada sesi bersama Kongres esok, berkata individu kaya harus ‘membayar bahagian yang adil’ untuk membiaya keutamaan dasarnya, satu pendirian yang baru-baru ini memperlihatkan sokongan kebanyakan rakyat AS.

Rancangan infrastruktur dan pekerjaan Biden yang besar berjumlah AS$2 trilion (RM8.1 trilion) akan dibayar sebahagiannya dengan cukai korporat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, Republikan dan kumpulan perniagaan menyatakan membantah sebarang kenaikan cukai, dengan menyatakan tidak akan menggalakkan pelaburan swasta. AFP

Anak lelaki Joe Biden bongkar masalah ketagihan dadah, hubungan dengan bapa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker