”Anak saya terima ugutan rogol” – Bapa pelajar dedah lawak rogol guru

Pelajar berusia 17 tahun yang mendedahkan mengenai lawak rogol seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor, Jumaat lalu, dikatakan turut menerima ugutan rogol dari rakan sekelasnya.

Perkara itu didedahkan bapa pelajar itu selepas dia membuat laporan polis di Saujana Utama pada Sabtu berhubung tindakan guru lelaki berkenaan.

Menurut bapanya, dia juga berasa berbelah bahagi untuk mengizinkan anaknya ke sekolah seperti biasa pada Isnin ini selepas dimaklumkan mengenai ugutan rogol tersebut.



“Respons daripada kawan-kawan lelaki sekolahnya tidak berapa bagus malah ada yang ugut untuk rogol.

“Mereka berasakan anak saya sudah memalukan nama baik sekolah dan mengaibkan guru tersebut,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Saiful dia akan membuat laporan polis yang berasingan untuk ugutan yang diterima anaknya itu.

Ditanya adakah dia juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan, Saiful Nizam berkata dia akan mendapatkan maklum balas pihak sekolah terlebih dahulu namun dinasihatkan oleh rakan-rakannya untuk membuat aduan rasmi.

“Hari Isnin nanti selepas ke sekolah saya akan ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) pula untuk dapatkan maklum balas pihak mereka pula,” katanya lagi.



Sementara itu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dalam satu kenyataan mengesahkan menerima laporan polis itu kira-kira jam 10 malam pada Sabtu berhubung tindakan guru terbabit.

“Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut terhadap laporan yang dibuat dan akan memanggil saksi-saksi yang terlibat untuk membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini seorang remaja perempuan mendakwa seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas sehingga mencetuskan kemarahan di media sosial.

Menurut pelajar berkenaan, kata-kata yang tidak menyenangkan itu dibuat ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di sekolahnya yang terletak di daerah Kuala Selangor, pada Jumaat.



Remaja itu mendedahkan perkara itu dalam sebuah video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter.

Related Articles

One Comment

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker