Raih sokongan 67%, Muhyiddin tak perlu takut panggil sidang Parlimen, kata pemimpin Umno


PETALING JAYA: Dua pemimpin Umno berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak perlu takut untuk Parlimen bersidang memandangkan tinjauan terhadap pengundi oleh Merdeka Center menunjukkan sokongan terhadapnya meningkat 67%.

Puad dalam hantarannya yang seolah-olah menyindir Muhyiddin berkata, penilaian 67% bermakna kerajaan Perikatan Nasional dalam keadaan “stabil”.

“Awal tahun ini, penilaian ratingnya dicatat pada 64%.

“Kalau sudah naik 3% kepada 67% maka wajar PM 8 sambung sidang Parlimen atau bubar Parlimen. Kalau tidak berani bubar, bermakna PM tidak percaya pada tinjauan tersebut,” katanya di Facebook.

Puad menambah, beliau akan mempertahankan pendirian #KerajaanGagal walaupun dengan hasil tinjauan itu.

Tanda pagar itu timbul baru-baru ini, selepas jumlah kes Covid-19 meningkat kepada lebih 2,000 setiap hari.

Sementara itu, veteran dan bekas menteri Umno Shahrir Samad berkata 67% adalah sokongan besar untuk Muhyiddin, sambil menambah bahawa sekarang tiada alasan untuk Parlimen terus digantung.

“‘Geng Publika’ seharusnya menasihatkan PM mengenai persidangan Dewan Rakyat. Sokongan 67% boleh naik hingga 77%,” katanya.

Bagaimanapun Shahrir tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan dengan “Geng Publika”.

Semalam, Merdeka Center mengumumkan hasil tinjauannya, dengan menyatakan bahawa penilaian sokongan terhadap Muhyiddin tetap stabil pada 67%, walaupun terdapat kebimbangan mengenai ekonomi dan wabak Covid-19.

Tinjauan itu dilakukan dari 31 Mac hingga 12 April, melibatkan kira-kira 2,111 pengundi di Semenanjung, dengan 64% responden adalah orang Melayu, 28% Cina dan 8% India.

Dikatakan sokongan Muhyiddin dalam kalangan pengundi Melayu tetap kuat pada 83%, walaupun sokongan dari orang Cina dan India masing-masing lebih rendah pada 30% dan 66%.

Semalam, Malaysia mencatatkan 2,847 kes Covid-19 dan lapan kematian. FMT

Kadar sokongan 67% kepada Muhyiddin ‘terlalu optimistik’, masa untuk PRU dilaksanakan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker