Buat laporan polis untuk hentikan fitnah – Ismail Sabri

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, dua video pendek yang tular di media sosial baru-baru ini merosakkan nama baiknya dan berniat jahat.

Beliau berkata, laporan polis yang dibuat berhubung kedua-dua video itu bertujuan menghentikan penularan fitnah terhadap dirinya.

“Dua video pendek yang dilihat bukan sahaja cuba merosakkan nama saya, tetapi juga cuba menimbulkan keadaan huru-hara antara kaum,” katanya dalam satu kenyataan.



Kenyataan itu dibaca oleh setiausaha akhbar beliau, Azlina Md Rosdy @ Rozzy selepas mewakili menteri itu membuat laporan polis terhadap penularan dua video berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dalam pada itu, Ismail berkata, video pendek pertama adalah ketika beliau membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 Feb tahun lepas.

Katanya, video tersebut ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan seakan-akan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya akan terus dipenjarakan.

“Video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksaan SOP,” katanya.



Ismail berkata, video tular kedua yang diberi tajuk “Sendiri buat SOP sendiri langgar” sebenarnya adalah rakaman beliau hadir dalam satu majlis santai bersama penggiat seni tanah air sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 15 Sept tahun lepas.

Beliau berkata, video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah bersempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

“Dalam pelaksanaan PKPP, majlis perkahwinan juga dibenarkan, temasuklah majlis-majlis lain. Maka, tiada pelanggaran SOP yang berlaku,” katanya.



Ismail berkata, penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada dirinya dan kerajaan.

“Penyebaran video ini ternyata berniat jahat kerana dikatakan video terbaru sewaktu PKP,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker