Kadar sokongan 67% kepada Muhyiddin ‘terlalu optimistik’, masa untuk PRU dilaksanakan


Kadar sokongan 67% kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam bancian terbaru yang dijalankan oleh Merdeka Center mungkin “terlalu optimistik”, kata seorang penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir percaya jika kajian itu meliputi responden dari Malaysia Timur, kadar sokongan berkenaan mungkin merosot berikutan isu “kalimah Allah”.

Persoalan penggunaan istilah Arab bagi Tuhan timbul semula berikutan keputusan kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian menggunakan istilah berkenaan.

Penduduk Sabah dan Sarawak tiada masalah dengan penggunaan “kalimah Allah” oleh orang Islam dan bukan Islam.

“Selain itu, wujud rasa tidak puas hati meluas dalam kalangan netizen berhubung pengurusan wabak Covid-19 dan juga ekonomi,” katanya kepada FMT selain menambah bahawa dua isu tersebut merupakan “ibu bagi semua isu lain”.

Jeniri juga berkata, wujud perbezaan besar antara populariti Muhyiddin dengan anggota kerajaannya yang lain.

“Walaupun jika Muhyiddin popular, ini tidak bermakna kerajaan atau anggota Kabinet lain juga popular.

Beliau berkata, penentu sokongan kepada kerajaan ialah cara ia menangani wabak dan ekonomi.

Katanya, lonjakan kes Covid-19 yang berlaku sejak kebelakangan ini “bukanlah petanda baik bagi kerajaan”.

“Orang ramai melihat strategi kerajaan gagal dan mungkin mengurangkan sokongan dalam pilihan raya.”

Jeniri berkata, Muhyiddin mungkin mendapat sokongan berikutan Cukai Jualan Petroleum, yang merujuk kepada penyelesaian pertikaian cukai antara syarikat minyak negara, Petronas dengan kerajaan Sarawak.

Katanya, bantuan langsung yang diberikan kepada orang ramai, terutama kumpulan B40, mungkin juga memihak kepada Muhyiddin.

Merdeka Center mendapati kadar sokongan kepada Muhyiddin kekal pada paras stabil 67%, walaupun wujud kebimbangan berkaitan pandemik dan ekonomi.

Bancian yang dijalankan antara 31 Mac hingga 12 April melibatkan kira-kira 2,111 pengundi di Semenanjung, dengan 64% responden merupakan orang Melayu, 28% Cina dan 8% India.

Ia mendapati sokongan kepada Muhyiddin dalam kalangan orang Melayu kekal pada paras 83%, walaupun sokongan daripada orang Cina dan India lebih rendah, iaitu masing-masing pada paras 30% dan 66%.

Felo di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, sokongan tinggi orang Melayu kepada Muhyiddin menunjukkan kerajaan pimpinan beliau lebih diterima oleh komuniti itu.

Katanya, beliau juga terkejut susulan sokongan “begitu tinggi” orang Cina dan India walaupun kerajaan pimpinan Muhyiddin dilihat lebih berteraskan orang Melayu.

Oh berkata, dengan tahap sokongan sedemikian, kerajaan Muhyiddin seharusnya lebih yakin untuk tidak melanjutkan perintah darurat melampaui tarikh 1 Ogos depan.

“Ia harus lebih yakin untuk mengadakan pilihan raya sebaik sahaja pandemik mengendur.”

Oh bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Jeniri bahawa natijah bancian itu mungkin berbeza sekiranya responden dari Sabah dan Sarawak turut dilibatkan.

“Isu sosioekonomi mengatasi semua isu lain, terutama di Malaysia Timur. Selagi Muhyiddin boleh menyediakan bantuan yang diperlukan, sokongan kepadanya akan kekal tinggi,” katanya.

Beliau berkata, keputusan bancian itu sewajarnya dibandingkan dengan sokongan yang diperolehi oleh pemimpin lepas.

“Bekas perdana menteri Najib Razak juga mendapat sokongan tinggi sebelum pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013. FMT

Rating sokongan Muhyiddin kekal stabil pada 67%, menurut tinjauan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker