Henti buli siber terhadap pegawai kesihatan kompaun masjid RM10,000, kata CUEPACS


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak orang ramai dan NGO menghentikan kecaman di media sosial terhadap Pegawai Kesihatan Daerah Pekan yang mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada sebuah masjid di Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Presidennya Adnan Mat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai isu kompaun masjid berkenaan, yang menyebabkan pegawai itu, Zuharnan Rashid menjadi mangsa buli di media sosial tanpa sebarang pembelaan sewajarnya.

“Tindakan tersebut sebenarnya mengganggu tugas penjawat awam yang hanya bertindak demi memastikan kepatuhan masyarakat terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan.

“CUEPACS pada peringkat awal memberikan ruang kepada Zurharnan dan jabatan untuk menyelesaikan isu ini kerana berasakan keadaan dan situasi pada masa tersebut dapat diselesaikan dengan baik antara pihak masjid, Pejabat Kesihatan Daerah dan masyarakat awam.



“Bagaimanapun, isu ini dilihat semakin tidak terkawal berikutan penyebaran maklumat yang tidak tepat telah mengakibatkan Zurharnan dipersalahkan 100% dalam isu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tersebar di media sosial bahawa Pengerusi Jawatankuasa Masjid Sri Maulana di Pekan dikenakan kompaun RM10,000 atas dakwaan tidak menyediakan kod QR MySejahtera dan buku pendaftaran jemaah, ketika pegawai membuat pemeriksaan di masjid itu.

Kompaun itu perlu dibayar dalam tempoh 14 hari.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, kompaun dikeluarkan kepada masjid berkenaan akan menjadi pengajaran kepada pengurusan masjid lain di negeri itu untuk mematuhi SOP Covid-19.



Adnan berkata, CUEPACS juga memohon Kementerian Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atau Pengerusi Task Force Covid-19 Daerah Pekan tampil memberikan penjelasan sebenar dalam isu itu.

Katanya, ia supaya nama Zurharnan dapat dibersihkan dan beliau tidak lagi diserang oleh beberapa pihak termasuk NGO yang tidak tahu kisah sebenar di sebalik apa yang berlaku. FMT

Dipanggil Anjing Di YouTube, Veveonah Tenang Minta ‘Keyboard Warrior’ Hentikan Buli Siber



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker