Tidak seganas nama, kuih gelembung buaya bangkitkan selera


TUMPAT: Bunyinya sedikit menggerunkan namun, sebaik menjamah gelembung buaya iaitu kuih tradisi masyarakat Kelantan ini pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja.

Kuih tradisi yang berwarna hijau dan jingga ini dihasilkan daripada campuran kelapa muda, tepung pulut, daun pandan, gula dan garam dikenali sebagai gelembung buaya kerana teksturnya yang mempunyai garisan seakan-akan kulit reptilia tersebut.

Selain itu, semasa proses memasak kuih tersebut mengeluarkan buih seakan-akan gelembung buaya yang sedang bernafas di dalam air.

Menurut Pengurus Suzara Serunding, Nor Fatin Nabila Sukri, 28, kuih gelembung buaya mendapat permintaan tinggi khususnya pada bulan Ramadan dan musim perayaan.

“Proses penghasilan kuih gelembung buaya mengambil masa kira-kira enam jam. Setiap lapisan gelembung buaya perlu disiapkan satu per satu mengikut warna sebelum kedua-duanya digabungkan.

“Tekstur gelembung buaya ini lembut, mudah ditelan serta rasa lemak manis yang sekata menjadikan ia sesuai untuk dijadikan manisan, antara sebab mengapa ia begitu mendapat permintaan yang tinggi dan digemari ramai,” katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya di Kampung Laut, di sini.

Nor Fatin Nabila berkata, dalam tempoh bulan Ramadan, mereka menyiapkan kira-kira 150 peket kuih gelembung buaya setiap hari dengan setiap peket seberat 250 gram dijual pada harga RM3 setiap satu.

“Tempahan yang diterima meningkat terutama menjelang perayaan namun kuih ini agak sukar untuk dihasilkan dalam kuantiti yang banyak kerana stok kelapa muda yang amat terhad.

“Setakat ini, kami mendapat maklum balas yang positif daripada pelanggan, mereka menyukai keunikan kuih gelembung buaya daripada Suzara Serunding kerana rasanya yang kurang manis,” katanya sambil menambah kuih tersebut dihasilkan mengikut resipi turun-temurun Suzara Serunding sejak 1970.

Ditanya mengenai permintaan terhadap kuih gelembung buaya tahun ini, Nor Fatin Nabila berkata sambutan yang diterima sangat baik berbanding tahun lepas. Bernama

Resepi kuih lopes untuk buka puasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker