KWSP bayar dividen hingga umur 100 tahun
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun yang kini sedang tersebar terutamanya melalui aplikasi mudah alih WhatsApp, adalah tidak lagi terpakai.
Seperti yang diumumkan oleh KWSP dalam satu kenyataan media bertarikh 3 November 2016, berkuatkuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.
Langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.
KWSP akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut.
Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendafter Wang Tidak Dituntut.
KWSP menasihati ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut.
Ahli juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau mewawarkan maklumat yang tidak sahih, kata KWSP lagi. MG
Terbukti Permintaan dan Perjuangan BN Dalam Isu I-Sinar Berasas