Harga ayam ditetapkan RM7.90 bagi musim Raya
PETALING JAYA: Harga ayam standard ditetapkan pada RM7.90 dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, yang akan bermula Rabu ini sehingga 20 Mei, berbanding RM7.50 pada SHMMP Hari Raya Puasa 2020.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi, berkata harga itu ditetapkan bawah skim kawalan harga maksimum musim perayaan selepas perbincangan dengan pemilik ladang ayam utama dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.
Bagaimanapun, beliau berkata kawalan harga ayam itu hanya melibatkan ayam hidup, ayam standard dan ayam super sahaja, semasa musim perayaan Hari Raya Puasa.
“Harga bagi bahagian ayam yang telah dipotong tidak kawal, contohnya dada, kaki dan paha,” katanya.
Nanta menjelaskan, peningkatan kos makanan ternakan ayam yang diimport adalah antara penyebab utama peningkatan harga ayam.
SHMMP Hari Raya Puasa 2021 selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan, melibatkan 12 jenis barangan membabitkan empat kategori iaitu ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.
Nanta berkata, kawalan harga dilaksanakan di setiap peringkat dalam rantaian pengedaran ayam dari ladang ke kedai runcit dan tidak akan membebankan peniaga ayam kerana setiap orang di rantaian pengedaran ayam telah memperoleh keuntungan masing-masing.
Nanta memberi amaran supaya harga ayam atau barangan lain tidak dinaikkan melebihi harga yang ditetapkan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021.
Empat kategori kawalan harga adalah:
Ayam – ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan juga ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).
Daging – daging lembu tempatan (harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja); daging lembu yang diimport (harga maksimum di Sarawak sahaja) dan daging kerbau yang diimport (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja).
Telur ayam – telur gred A (berat antara 65g dan 69.9g sebiji); gred B (berat antara 60g dan 64.9g sebiji) dan gred C (berat antara 55g dan 59.9g sebiji);
Makanan laut – ikan tenggiri termasuk ikan mabung (ikan tenggiri India) – 7 hingga 10 ikan per kg; ikan selayang – 7 hingga 10 ekor per kg; dan ikan aya atau tongkol (ikan tuna) – ikan hingga 2 ekor per kg. FMT