‘Baca Quran sama, sujud tuhan yang sama, kenapa tak boleh duduk semeja?’
Pemuda Umno bahagian Titiwangsa menyeru semua parti politik berteraskan Melayu dan Islam agar duduk semeja bagi mengetepikan perbezaan politik antara mereka.
Ketuanya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pucuk pimpinan parti perlu mengambil kesempatan dalam bulan Ramadan ini untuk berbincang bagi membina masa depan yang lebih baik demi bangsa dan negara.
“Saya khususnya secara peribadi menyeru kepimpinan Umno pusat dan serta pimpinan parti Melayu pecahkan tradisi.
“Kalau kami (pemuda) Umno, PAS, Armada, Amanah dan AMK boleh duduk semeja, kenapa yang atas sana tak nak mulakan?
“Inilah kita panggil semua berkumpul dan duduk semeja, letak tepi perbezaan politik. Jangan tunggu lepas raya. Berpegang pada Quran. Peganglah pada tali Allah dan jangan cerai berai.
“Kalau kita ini baca Quran yang sama… sujud pada tuhan yang sama kenapa tidak boleh duduk semeja? Apa pun matlamat kita untuk membina masa depan yang baik untuk negara dan bangsa,” katanya dalam sidang media di majlis berbuka puasa di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, petang tadi.
Majlis Iftar Ramadan Ukhwah Islamiyah itu dianjurkan oleh Pemuda Umno Titiwangsa bersama Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, Pemuda Bersatu (Armada), Pemuda PKR (AM) dan Pemuda Amanah Titiwangsa.
Turut hadir Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi; Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Rashidi Abd Razak; Ketua Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, Abdul Rahman Hamzah; Ketua Armada Titiwangsa, Ad Adib Shaharuddin; wakil Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan, Anhdeer Supardy Lazuardi dan wakil Pemuda PKR Wilayah Persekutuan yang tidak dinamakan.
Terdahulu, Nazir berkata perbezaan idealogi di kalangan parti Melayu menyebabkan kaum Melayu berpecah belah dan akhirnya merugikan negara.
“Kita membuktikan malam ini bahawa anak muda boleh duduk semeja walaupun semua parti berbeza idealogi.
Dia turut menegaskan bahawa Pemuda Umno Titiwangsa tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun asalkan mereka mendukung aspirasi yang sama.
“Kita tak ada masalah bekerja dengan siapa sahaja. Kita tak kira dia dari parti mana asalkan dia mendukung aspirasi yang sama, kita nak sama.
“Kita kira sifat terbuka dan saya yakin anak muda di luar sana dan rakyat dah bosan dengan politiking semasa,” katanya.
Sementara itu, Nazir mengharapkan kewujudan sebuah gabungan baru yang melibatkan kepimpinan Melayu-Islam.
“Itu harapan saya. Tidak kiralah sama ada dinamakan sebagai gabungan baru atau kesatuan, yang penting adalah semua parti Melayu Islam mencari jalan untuk bersatu,” katanya.
Menurutnya dia mengharapkan hubungan antara parti-parti berasaskan Melayu tidak berlaku setakat bulan Ramadan sebaliknya berkekalan sehingga matlamat dan agenda penyatuan orang Melayu dapat dicapai.
“Kita nak semuanya mengambil kesempatan di bulan Ramadan ini kerana ia adalah satu bulan yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan hubungan silaturrahim dan padamkan politik dan suhu politik dapat diredakan,” katanya.
You must be logged in to post a comment.